PASIR SALAK– Beberapa penambahbaikan dan pembaharuan akan dilaksanakan terhadap Majlis Amanah Rakyat (MARA) dalam masa terdekat.

Menteri Pembangunan Luar Bandar , Rina Mohd Harun berkata, ia bertujuan memastikan agensi kerajaan itu kekal berdaya saing dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Ujarnya, beliau sedar tanggungjawab besar yang dipikul kementerian itu setelah kerajaan memutuskan MARA kekal dibawah kementerian tersebut.

“MARA dikekalkan di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar. Kita amat menghargai kepercayaan yang diberikan Perdana Menteri, Tun Dr.Mahathir Mohamad.

“Sudah pasti tujuan dan fungsi asal MARA akan terus diperkasa dan dipertingkatkan. Semua akan kita umumkan dalam masa terdekat,”ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan bangunan pusat pengumpulan produk usahawan Felcra Seberang Perak di Kampung Gajah, di sini pada Isnin.

Yang turut sama, Ketua Pengawai Eksekutif Felcra Berhad, Datuk Zulkarnain Md. Eusope.

Sementara itu, dalam ucapannya, Rina menjelaskan pihaknya akan memastikan usaha secara berkesan dilaksanakan untuk menaiktaraf dan meningkatkan kualiti hidup yang dapat memenuhi keperluan sosio ekonomi, fizikal, rohani dan sahsiah masyarakat luar bandar.

“Pada masa sama kita juga akan terus mempertingkatkan kolaborasi jentera pelaksana daripada kalangan semua agensi di bawah kementerian dalam usaha membangunkan sektor luar bandar dalam aspek-aspek prasarana, ekonomi, modal insan dan komuniti.

“Usaha itu dilaksanakan supaya tahap kesejahteraan kehidupan di luar bandar terus meningkat dari semasa ke semasa,”ujarnya.

Baru-baru ini, Perdana Menteri mengumumkan MARA dikekalkan di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar setelah cadangan untuk mengagihkannya kepada beberapa kementerian mendapat tentangan.

Bagaimanapun Mahathir berjanji akan memberi bantuan secukupnya kepada kementerian tersebut sekiranya memerlukan keperluan tertentu seperti pengambilan pegawai, bekerjasama dengan pihak luar dan sebagainya.