DUNGUN– Seorang anggota Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu dan seorang mekanik nyaris maut selepas diserang hendap oleh sekumpulan sindiket pembalak haram yang melepaskan tembakan ketika pasukan penguat kuasa menjalankan operasi di Hutan Simpan Bukit Bauk di sini pagi kelmarin.

Sindiket pembalak haram itu melepaskan tiga das tembakan menggunakan senapang ke arah sekumpulan kira-kira 10 anggota penguat kuasa sehingga menyebabkan seorang mekanik cedera pada bahagian pinggang selepas terkena tembakan itu.

Mekanik tersebut merupakan orang awam yang membantu operasi Jabatan Perhutanan.

Pengarah Perhutanan Negeri Terengganu, Datuk Ahmad Fadzil Abdul Majid berkata, 10 pegawai dan anggota bergegas ke lokasi selepas menerima maklumat mengenai pembalakan haram di lokasi berkenaan dan menyita sebuah jentera jengkaut.

-Kosmo