IPOH: Pembangkang akan terus berusaha untuk menggambarkan kerajaan yang ada sekarang teruk, kerana mereka sendiri ingin menjadi kerajaan.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, oleh yang demikian, mereka akan terus berusaha untuk menggambarkan bahawa kerajaan yang memerintah sekarang sebagai teruk.

Bagaimanapun, kata Dr Zambry, beliau tidak mahu mengambil itu sebagai kritikan kerana telah masak dengan pendekatan mereka.

“Apa yang diharapkan, bajet yang kita fokuskan pada hari ini akan dapat menggerakkan kembali ekonomi negeri Perak,” katanya ketika sidang media selepas membentangkan Bajet 2017 di Sidang DUN pada Selasa.

Terdahulu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Nizar Jamaluddin dalam sidang medianya menyifatkan bajet yang dibentangkan itu sebagai paling teruk sepanjang beliau (Nizar) menjadi wakil rakyat.

Dr Zamry berkata, pembangkang sebenarnya tahu bahawa ekonomi Perak terus berkembang, misalnya, pertumbuhan tahun lalu 5.9 peratus, tetapi mereka akan terus menafikannya.

“Mereka tahu ini, oleh yang demikian mereka bekerja untuk menafikan itu..walaupun dia berusaha bersungguh-sungguh untuk mengatakan Perak ini yang terkebelakang, teruk dan segala-galanya tetapi dalam masa sama, mereka tahu daripada maklum balas orang ramai.

“Apa yang berlaku di kawasan Lembah Kinta, Perak di Ipoh dan di daerah yang lain dengan pembangunan yang berlaku…mereka tahu, cuma apa yang mereka buat ialah untuk menafikannya.

“Kalau mereka mengiakannya…bermakna habislah dia, jadi itu kerja dia,” ujarnya.

Ditanya mengenai pembangkang yang masih menggunakan laporan Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) kononnya Perak kedua termiskin, Dr Zambry berkata, mereka sebenarnya ketinggalan kerana tidak mengikuti penjelasan yang dibuat KRI.

“Saya jangka dah, sebab itu saya tidak menyentuh tentang aspek itu…dan menunjukkan sendiri bagaimana mereka ini yang agak ketinggalan dari segi bacaan dan mereka sendiri tidak mahu menerima hakikat apa yang Khazanah sendiri pun telah membetulkan.

“Bagi dia tidak penting…bagi dia yang paling penting ialah bagaimana dia dapat memanipulasi dan dapat menggunakan sesuatu untuk kepentingan dia, itulah apa yang dia nak buat,” kata beliau.