KUALA LUMPUR: Cadangan pakatan pembangkang yang mahu memberikan bekalan air percuma di Johor disifatkan sebagai janji palsu menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Ahli Parlimen Sembrong yang juga Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata janji sama ditabur pembangkang di Selangor sebelum ini, namun ia bukan saja gagal dipenuhi, malah rakyat negeri itu terpaksa berdepan krisis bekalan air.

“Saya nak ingatkan pada mereka, kalau dulu dijanjikan air percuma di Selangor, namun sekarang tak ditunaikan, malah rumah saya sendiri di Taman TAR tidak ada air.

“Jadi saya sebenarnya sebagai satu daripada ribuan mangsa kepada janji kosong pembangkang.

“Saya percaya orang Johor tidak akan terpengaruh dengan janji palsu pembangkang. Jika manifesto mereka yang lalu pun tak dapat ditunaikan, macam mana kita nak percaya apa yang dibentang sekarang,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.

Beliau berkata demikian, ketika diminta mengulas mengenai cadangan Pakatan Harapan Johor yang mahu memberikan bekalan air percuma di negeri itu, seperti dilaksanakan di Selangor jika menang pada PRU-14.

Portal berita melaporkan, pembangkang di Johor mendakwa kadar bil air di Johor adalah tertinggi di Malaysia dan menjadikan isu itu bagi menyerang kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Khaled Nordin.

Sementara itu, Ahli Parlimen Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Samad berkata, kerajaan Johor sudah pun melaksanakan pemberian air percuma bagi 35 meter padu pertama, namun ia hanya kepada golongan miskin dan asnaf.

“Pendekatan di Johor adalah kepada mereka yang benar-benar memerlukan. Yang utama ialah pembangkang kena betulkan kaedah pengagihan bekalan air di Selangor,” katanya – berita harian