IPOH: Tindakan berkecuali empat wakil PAS dalam pengundian secara angkat tangan bagi usul memilih Ahli Dewan Negara pada persidangan akhir Dewan Negeri Perak petang tadi menyaksikan perpecahan di kalangan pembangkang.

Menurut Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, senario itu jelas menunjukkan PAS tidak boleh bersama dengan DAP apabila mereka mengambil sikap berkecuali.

“PAS menetapkan pendirian mereka sebab itu apabila di peringkat awal empat wakil mereka tidak mengangkat tangan semasa proses pemilihan bagi memilih Ahli Dewan Negara dijalankan.

“Bagi menghuruharakan suasana itu mereka (anggota Dewan dari DAP) mengangkat kedua-dua belah tangan masing-masing kerana mereka tidak mahu memberi gambaran sebenarnya bahawa pembangkang berpecah dan apabila gambaran itu diberikan, maka rakyat akan melihat bahawa pembangkang telah berpecah,” katanya pada sidang media selepas Sidang  DUN ditangguhkan pada Selasa.

Sebelum itu Dewan telah meluluskan usul melantik semula Timbalan Menteri Kewangan yang juga Naib Presiden MCA, Datuk Lee Chee Leong dan Ketua UMNO Bahagian Gopeng, Datuk Hamzah Mohd Kassim sebagai Ahli Dewan Negara untuk tempoh tiga tahun berkuatkuasa 21 April 2017.

Pemilihan mereka dibuat selepas pengundiaan secara angkat tangan di samping dua lagi calon yang dicadangkan wakil rakyat pembangkang iaitu Nga Hock Chye dan Mohd Zainuddin Mohd Yusof.

Pada pengundian yang dibuat secara mengangkat tangan, Lee dan Hamzah yang dicadangkan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir memperolehi 31 undi manakala undi Nga dan Mohd Zainuddin diisytiharkan sebagai rosak kerana beberapa wakil pembangkang mengangkat dua belah tangan.

Bagaimanapun disebabkan terdapat bantahan daripada pembangkang, pengundian secara mengangkat tangan dibuat semula.

Pengundian kali kedua menunjukkan Lee dan Hamzah tetap mendapat 31 undi manakala pembangkang tidak mengundi sebagai tanda protes.