KUALA KANGSAR: Pembangkang tidak wajar memainkan isu pembangunan dan infrastruktur lengkap yang teruk di sekitar Kuala Kangsar hanya untuk meraih undi pada pilihan raya kecil PRK parlimen itu pada 18 Jun ini.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, memang terdapat beberapa infrastruktur yang belum diperbaiki namun ianya bukanlah seteruk seperti yang digembar-gemburkan oleh pihak pembangkang.

Menurut beliau, memang terdapat jalan-jalan di kampung yang pecah dan rosak tetapi ia adalah disebabkan oleh lori-lori dan kenderaan berat yang sering melalui laluan tersebut.

“Mana boleh ini dianggap sebagai tiada pembangunan. Dua perkampungan Orang Asli di sini pula mempunyai infrastruktur lengkap, pembangkang boleh bawa macam-macam isu tapi buktikanlah terlebih dahulu,”katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Program Tuisyen  Kuala Kangsar KKLW di Dewan Jubli Perak, di sini pada Rabu.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) berkata, kemudahan elektrik, air, perumahan dan jalan di Kuala Kangsar boleh dianggap sebagai lengkap dan tidaklah seteruk seperti tohmahan pembangkang.

Menurut Ismail Sabri, kerajaan sentiasa melaksanakan pembangunan, bukan sahaja di kawasan tumpuan bandar Kuala Kangsar tetapi juga meliputi jalan untuk masuk ke kampong, malah sehingga ke rumah masyarakat setempat.

“Contohnya, jalan hendak masuk kampung di Semenanjung, kita tidak boleh kata tak ada dah kerana kebanyakannya hingga ke pintu rumah,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, oleh kerana Malaysia mengamalkan sistem berpolitik secara demokrasi, maka tiada sebarang sekatan kepada mana-mana individu untuk bertanding.

“Terserahlah, mana-mana ahli UMNO yang bertanding sebagai calon bebas keahliannya akan gugur secara automatik, kalau dia hendak juga, teruskanlah,” katanya lagi.