IPOH – Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin menyelar sikap pembangkang yang hanya pandai mengkritik kerajaan dalam hal membabitkan kebajikan rakyat tetapi tidak melakukan sebarang usaha demi kebaikan rakyat.

Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Manik itu turut mengingatkan calon pembangkang agar jaga kain sendiri dan berhenti berlagak pandai untuk menjadi hero rakyat.

Menurutnya tindakan calon tunggal Melayu DAP di Perak, Dr Abdul Aziz Bari melemparkan tuduhan tidak berasas amat mendukacitakan malah dilihat cuba menanam politik kebencian kepada rakyat.

“Jangan tunjuk hero seolah-olah seperti sudah menjadi wakil rakyat dan tak perlu nak mencampuri urusan pentadbiran negeri ini jika tidak tahu hujung pangkalnya.

“Saya rasa lebih baik dia (Aziz Bari) jaga kain sendiri dan berhenti berlagak pandai seolah-olah sudah berkhidmat untuk rakyat Perak bertahun lamanya, walhal baru dua tiga hari di sini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Zainol Fadzi berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Aziz Bari yang mendakwa BN meminggirkan rakyat di negeri ini jika kawasan itu diwakili pembangkang selain menyentuh isu hak milik tanah.

Aziz Bari turut mendakwa Zambry ‘gagal’ membantu rakyat setelah dua penggal menjadi wakil rakyat.

Zainol menambah, Aziz Bari terlalu naif kerana tidak melihat usaha yang dilakukan kerajaan negeri dan beliau hanya pandai bercakap sahaja.

“Saya pelik dan tertanya adakah beliau sedar Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir telah banyak menyelesaikan permasalahan rakyat berkait isu tanah, namun bila saya fikir semula saya sedar beliau bukan rakyat negeri ini jadi sebab itu beliau tak tahu.

“Adalah amat menyedihkan bagi seseorang yang berstatus professor boleh mengeluarkan kenyataan seperti ini, hanya kerana DAP memberikan kerusi selamat kepadanya, beliau terpaksa mengampu seperti ini,” katanya.

Tambahnya lagi, beliau mengingatkan agar Aziz Bari tidak menjadi pengacau daun dengan memainkan perasaan rakyat supaya benci kerajaan.

“Jadi pembangkang ni cukup mudah, bermodalkan air liur sahaja, itu belum lagi penipuan fakta dan fitnah daripada pembangkang yang cuba memburuk-burukkan kerajaan dengan menimbulkan pelbagai isu.

“Jadi saya pesan ingatlah Tuhan, berdosa berbohong hanya kerana nak dapatkan sokongan rakyat dengan cara yang keji,” katanya.

BERITA BERKENAANTuduhan Sabotaj Pesawat: Tindakan Patut Diambil Terhadap Tun Mahathir