KOTA BHARU: Pemimpin pembangkang ibarat memiliki ‘lidah bercabang’ kerana melemparkan pelbagai tuduhan mengenai hubungan dua hala antara Malaysia dengan China.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata segelintir pemimpin pembangkang mendakwa hubungan dua hala itu akan menggadai kedaulatan negara bagi menimbulkan kebencian dalam kalangan rakyat.

Katanya, pembangkang menghentam hubungan negara dengan China, namun pada masa sama turut menjalin kerjasama dengan negara itu.

“Pemimpin pembangkang seperti Menteri Besar Selangor (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali) dan Ketua Menteri Pulau Pinang (Lim Guan Eng) melawat China untuk promosi pelaburan.

“Mereka mengeluarkan kenyataan menyokong pelaburan China di Malaysia di peringkat atas tetapi di bawah mereka berkempen menghentam kerajaan.

“Cakap tak serupa bikin dan ini yang orang kata lidah bercabang kerana dan tidak timbul soal kedaulatan negara akan tergugat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) MyIBS Sdn Bhd dengan Persatuan Kontraktor Perumahan Kelantan (PKPK) dalam penggunaan Sistem Pembinaan Perindustrian (IBS) di sini, hari ini.

CIDB MyIBS diwakili Timbalan Pengerusinya, Dr Ir Elias Ismail, manakala PKPK oleh Presidennya, Hasniro Hasbullah.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Seri Zohari Akob dan Ketua Eksekutif CIDB, Datuk Ahmad Asri Abdul Hamid.

Mustapa yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri berkata, China adalah kuasa ekonomi kedua terbesar di dunia dan Malaysia perlu mengambil kesempatan untuk menarik pelaburan.

“Kita perlu meningkatkan pelaburan semua negara di Malaysia dan pelaburan China menduduki negara ke-10 berbanding negara lain.

“Justeru, kebimbangan dan tuduhan pembangkang itu tidak berasas kerana semua pihak termasuk institusi pentadbiran akan mempertahankan kedaulatan negara kita,” katanya.

Akhbar semalam melaporkan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, bahawa kerajaan tidak akan membenarkan percubaan merosakkan hubungan dua hala yang kukuh antara Malaysia dan China – berita harian