BATU GAJAH: Wakil rakyat pembangkang cuba mengambil kesempatan dengan mendakwa mereka yang membawa pembangunan di kawasan Parlimen Batu Gajah walaupun ia nyata diusahakan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN).

Pengerusi BN Batu Gajah, Datuk Wira Mohd Yusoff Kasim mendedahkan, apabila projek berkenaan siap, wakil rakyat pembangkang khususnya Ahli Parlimen Batu Gajah, V. Sivakumar lazimnya melawat kawasan itu dan mendakwa kononnya ia berjaya atas usaha beliau.

Sebagai contoh, kata Mohd. Yusoff, semasa kerja-kerja menurap jalan dan membaiki longkang dijalankan, wakil rakyat pembangkang ini datang merakam gambar dan memuatnaik ke media sosial dengan mendakwa merekalah yang menyelesaikannya.

“Kita berharap rakyat faham taktik mereka yang cuba mengelirukan rakyat, kononnya atas usaha merekalah projek itu terlaksana,” katanya kepada pemberita ketika turun padang bersama-sama Yang Dipertua Majlis Daerah Batu Gajah (MDBG), Nurdiana Puaadi di sekitar Batu Gajah, hari ini.

Nurdiana disertai pegawai dan Ahli Majlis MDBG meninjau tapak projek pembangunan yang bakal dilaksanakan, termasuk 20 projek bernilai lebih RM5 juta yang akan bermula minggu hadapan dan dijangka siap dua bulan lagi.
Antaranya ialah projek membaikpulih siling dan longkang Pasar Tronoh, membina longkang di RPT Tronoh Mines, menurap semula jalan di Medan Bali Emas dan Jalan Ilmu, di sini.

Menurut Mohd. Yusoff, selaku Ketua Whip MDBG, pihaknya turun padang untuk memberitahu rakyat bahawa projek-projek tersebut diperolehi atas hasil usaha kerajaan BN dan tidak ada kena mengena dengan pembangkang.

“Kerajaan BN tidak pernah menganaktiri kami di Batu Gajah…Berilah peluang kepada BN menang, insya-Allah kita usahakan untuk membawa lebih banyak pembangunan di sini,” tambahnya.