IPOH: Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali diminta untuk tidak membuat tuduhan melulu berkaitan insiden kekecohan yang berlaku ketika forum Nothing to Hide 2.0 pada Ahad lalu.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata, dakwaan Mohamed Azmin kononnya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi dalang di sebalik insiden berkenaan tidak berasas.

Beliau berkata, Mohamed Azmin seharusnya menunggu siasatan dijalankan terlebih dahulu.

“Bagaimana seorang Menteri Besar boleh membuat satu kesimpulan terhadap perkara yang masih belum lagi disiasat?

“Apa punya sikap Menteri Besar macam ini? Menyalahkan orang lain pula mengenai forum (Nothing to Hide) semalam sedangkan mereka yang timbulkan masalah,” katanya pada satu sidang media di sini pada Isnin.

Menurut Noh, dakwaan Mohamed Azmin itu juga mencerminkan sikap sebenar parti pembangkang di negara ini yang sering menyalahkan kerajaan dan UMNO tanpa sebarang asas yang kukuh.

“Pembangkang dan fitnah berpiasah tiada. Inilah perangai serta sikap pembangkang yang apa juga berlaku di negara ini, semuanya salah kita (UMNO dan kerajaan), kemudian (mereka) menghasut rakyat.

“Sudah, sudahlah Azmin. Urus rumah tak reti, urus sampah tak reti, urus PPR (Projek Perumahan Rakyat) pun tak reti, urus air pun tak reti…apa punya sikap Menteri Besar macam ini,” ujar beliau.

Semalam (Ahad), forum Nothing to Hide 2.0 anjuran Armada Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) bertukar kecoh ketika Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad menjawab soalan mengenai tragedi Memali yang berlaku pada 1985.

Forum yang diadakan di Kompleks Belia dan Kebudayaan, Seksyen 7 Shah Alam, yang bermula pada jam 4.15 petang itu, pada awalnya berlangsung dengan aman hampir sejam sebelum ia bertukar ganas.