IPOH: Pembangkang diminta supaya berpijak di bumi nyata ketika mendesak kerajaan negeri Perak membentangkan akaun Perdanan Menteri Besar (MB Inc) dalam Dewan Undangan Negeri (DUN)

Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC) Perak, Datuk Khusairi Abdul Talib berkata, jika benar mahukan keadilan, mereka sepatutnya terlebih dahulu meminta rakan mereka, kerajaan negeri Selangor membentangkan akaun MB Inc Selangor di dalam DUN negeri itu.

Menurut beliau, ini kerana MB Inc Selangor telahpun memindahkan harta dalam bentuk tunai dan asset kira-kira RM30 bilion daripada MB Inc Selangor kepada sebuah syarikat Darul Ehsan Invesment Group (DEIG).

“Kalau berbanding dengan negeri Perak, perniagaan yang dilakukan MB Inc Perak tidak sampai RM1 bilion pun tetapi kenapakah pihak pembangkang beria-ia sangat mahu akaun MB Inc Perak dibentangkan, sedangkan yang terlibat di dalam sebuah negeri yang ditadbir oleh DAP dan PKR di Selangor menjalankan akiviti perpuluh-puluh bilion tetapi mereka memejamkan sebelah mata,” katanya dalam sidang media selepas sesi persidangan Dewan Negeri Perak pada Jumaat,

Khusairi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim berkata, tindakan itu adalah merupakan satu ketidakadilan dan ketidak ketelusan pemimpin-pemimpin pembangkang.

“Bagi mereka, melihat negeri-negeri seperti Selangor Pulau Pinang itu semuanya baik tetapi di negeri Perak dan berapa negeri lain yang ditadbir Barisan Nasional, nampak semuanya buruk sedangkan kita tengok CMI di Pulau Pinang mereka juga tidak mendedahkan secara telus aktiviti yang dilakukan di Pulau Pinang itu sendiri,” ujarnya.

Beliau menambah, sekiranya hendak dibandingkan, MB Inc Perak mempunyai lembaga pengarah yang lengkap, termasuk Menteri Besar sebagai Pengerusi dan Exco kerajaan negeri.

“Tetapi di Selangor, hanya Menteri Besar dan juga dua orang yang tiada kena mengena dengan Exco kerajaan negeri, malah pembentukkan MB Inc di Selangor dan keputusan untuk memindahkan aset MB Inc Selangor kepada DEIG tidak mendapat kelulusan daripada pihak Exco dan kawatankuasa yang sepatutnya dibentuk di kalangan Exco kerajaan negeri dan juga wakil-wakil rakyat.

“Tetapi kenapa mereka minta MB Inc di Perak ini melakukan suatu perkara yang tidakpun berlaku di dalam negeri Selangor itu sendiri,” tegas Khusairi.

Menurut beliau, MB Inc Perak telahpun menjana ekonomi bagi rakyat negeri Perak dan sehingga Mac 2017 sebanyak RM44.6 juta telahpun dikumpul dalam bentuk royalti daripada pasir dan tanah merah.

Malah, kata beliau, RM44.6 juta itu telah secara jelas dikembalikan kepada rakyat dalam bentuk projek-projek dan program-program yang dilaksanakan untuk kesejahteran rakyat.

“Jadi pembangkang, khususnya DAP dan PKR perlu berpijak dibumi nyata, jangan melihat apa yang berlaku di negeri Perak ini sebagai semuanya buruk tetapi dalam masa yang sama cuba menutup sebelah mata terhadap kelemahan-kelemahan yang wujud dalam negeri-negeri yang mereka tadbir, khususnya di Selangor dan Pulau Pinang,” katanya.