PASIR SALAK 2 Okt. – Keengganan pembangkang menyerahkan senarai nama calon Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk saringan memberi kelebihan kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Ahli Majlis Tertinggi UMNO merangkap Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, ini kerana UMNO dan BN sentiasa memerlukan calon yang bersih untuk bertanding dalam PRU-14 dan kerana itu senarai nama diberikan untuk disaring lebih awal.

Katanya, tindakan itu bagi mengelakkan masalah lebih besar berlaku selepas pilihan raya apabila calon terlibat gagal dalam saringan.

“Langkah awal ini diambil bagi memastikan calon-calon yang menang PRU-14 akan memberi tumpuan sepenuhnya ketika berkhidmat kepada rakyat yang mengundi mereka.

“Tiada gunanya jika calon itu menang tetapi mempunyai masalah apabila disaring SPRM selepas pilihan raya dan ini akan menjejaskan perkhidmatan kepada rakyat,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan ahli Parlimen dan sumbangan Majlis Pembangunan Parlimen Pasir Salak kepada kira-kira 100 orang penerima di sini semalam.

Mereka menerima alatan pertanian seperti mesin rumput, mesin blower, penjana kuasa, pam air dan gergaji berantai.

Yang turut hadir, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pasir Salak, Dr. Faizal Tajuddin.

Tambah Tajuddin, jika pembangkang enggan memberi senarai calon untuk ditapis, itu masalah mereka dan tiada kaitan dengan UMNO mahupun BN.

“Mereka (pembangkang) nak bagi senarai atau tidak buatlah apa yang mereka suka, tetapi jika berlaku masalah kelak tanggunglah sendiri.

“Kita tidak bimbang kerana kita sudah hantar senarai nama dan mungkin ini satu kelebihan untuk jangka masa panjang,” katanya.

-Utusan