IPOH : Wakil rakyat pembangkang tetap dengan pendirian hanya akan mengisytihar harta kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan tidak kepada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk Ngeh Koo Ham.

Ketua Pembangkang, Datuk Saarani Mohamad berkata, mereka tidak akan menyerahkan borang pengisytiharan harta kepada Speaker walaupun sidang DUN Perak bulan lalu meluluskan usul semua ADUN wajib mengisytihar harta kepada Speaker DUN.

Menurutnya, pihak SPRM telah menjelaskan bahawa pengisytiharan harta tidak tertakluk ia perlu dihantar kepada Speaker DUN.

“Kami akan isi borang isytihar harta, tiada masalah tetapi hanya dihantar kepada SPRM kerana SPRM adalah agensi yang sebenarnya.

“Malah menurut SPRM, pengisytiharan harta dibuat secara sukarela dan tidak tertakluk dihantar kepada Speaker DUN.

“Borang pengisytiharan harta boleh hantar terus di pejabat SPRM negeri atau di Putrajaya dan kami akan menghantarnya serentak pada hari yang akan kami umumkan nanti,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Sementara itu, Saarani menyifatkan usul semua wakil rakyat wajib mengisytiharkan harta dibuat secara tergesa-gesa.

Menurutnya, ini kerana ada mekanisme yang belum sempurna umpamanya wakil rakyat hanya mengisytiharkan harta tetapi liabiliti iaitu tanggungan atau hutang ke atas harta yang dimiliki tidak dipamerkan.

“Contohnya beli rumah berharga RM500,000, sudah tentu dibayar ansuran bermakna kita masih berhutang tetapi liabiliti ini tidak dipamerkan, jadi ia tidak adil.

“SPRM pun tidak dapat berbuat apa-apa dalam hal ini kerana ia keputusan Kabinet, bermakna Kabinet pun tergesa-gesa

sebab tak kaji bagaimana kaedah sebenar untuk membolehkan pengisytiharan harta itu betul-betul menepati tujuanya iaitu telus.

“Untuk telus kena isytihar harta dan liabiliti,” katanya