IPOH: Calon pembangkang yang melompat ke kawasan lain kerana tidak memberi perkhidmatan kepada rakyat yang diwakilinya.

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak, Datuk Saarani Mohamad menggelarkan mereka sebagai calon nomad.

Beliau memberi contoh, Timbalan Pengerusi Amanah Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin tidak memberi khidmat kepada rakyat ketika menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Panjang merangkap Menteri Besar selepas Pilihan Raya Umum ke – 12 (PRU-12).

Ekoran daripada itu, kata Saarani, Nizar lari pula bertanding dan di DUN Changkat Jering pada PRU-13 tetapi tetap tidak memberi perkhidmatan kepada rakyat di kawasan tersebut.

“Walaupun kita tidak menang Changkat Jaring, banjir di situ tidak nampak muka Nizar ni, UMNO dan BN yang pergi turun untuk melihat mangsa banjir.

“Jadi, dia tahu orang Changkat Jering marah kepada dia, dia lari ke tempat lain, sekarang dia pergi ke Sungai Rapat, sama yang lain pun. Apa Nga Kor Ming buat kat Taiping, tak ada,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai tindakan beberapa pemimpin pembangkang yang melompat kawasan, seperti Nga yang bertanding di Parlimen Teluk Intan dan Nizar ke DUN Sungai Rapat.

“Calon-calon ini sentiasa berlari dari satu tempat ke satu tempat, dia tak `serve’, jadi rakyat kena tahu, calon-calon pembangkang bukanlah wakil rakyat sebenarnya, mereka hendak menjadi ahli dewan negeri sahaja, bercakap berdegar-degar di dalam Dewan Negeri tetapi tidak `serve’.

“Yang memberi khidmat kepada rakyat adalah ADUN BN, Ahli Parlimen BN, banjir, kebakaran, ribut, taufan, kemalangan, inilah ADUN-ADUN BN, sebab itu kita pilih calon-calon BN yang boleh berkhidmat, bukan calon yang boleh bercakap berdegar-degar di dalam dewan sahaja,” ujarnya.

Saarani berkata, calon-calon pembangkang melompat ke kawasan lain kerana mereka sedar, jika bertanding di tempat yang sama, rakyat akan marah dan tidak tidak mengundi mereka.

Sebaliknya, kata beliau, calon-calon BN tidak melompat kawasan dan tetap bertanding di tempat yang sama, sekiranya terus diberi kepercayaan oleh pucuk pimpinan parti.

BERITA BERKENAANBN Utamakan Keselamatan, Keamanan Rakyat – PM