IPOH: Pihak pembangkang diingatkan untuk tidak menangguk di air keruh berkenaan isu perbalahan di antara penduduk dan pemaju di Kampung Changkat Larah, Batu Kurau baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau, Datuk Dr. Muhammad Amin Zakaria berkata, isu berkenaan tidak seharusnya dipolitikkan dan diambil kesempatan kerana proses rundingan di antara pihak terlibat sedang dilakukan.

“Tidak wajar mereka mempolitikkan isu ini kerana perkara berkenaan hanya melibatkan keluarga terlibat, pentadbiran Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Kurau dan pejabat tanah dan ia bukan isu politik.

“Saya sendiri melalui kerajaan negeri telah pun merancang beberapa alternatif serta tindakan susulan demi membela kebajikan sembilan keluarga yang terlibat ini” katanya pada satu sidang media di sini pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan sebuah akhbar tempatan mengenai sembilan keluarga di Kampung Changkat Larah, Batu Kurau diarahkan berpindah dan rumah mereka akan dirobohkan bagi memberi laluan kepada projek pembangunan perumahan yang sedang dilaksanakan.

Bercerita lebih lanjut, Muhammad Amin yang juga ADUN Batu Kurau berkata, masalah itu timbul selepas tanah yang diduduki keluarga terlibat sebenarnya telah dijual oleh salah seorang ahli keluarga kepada individu lain sebelum ini.

“Tanah itu kemudiannya dijual kepada pemaju sekarang dan mereka mempunyai perancangan sendiri untuk memajukan kawasan perumahan serta kemudahan-kemudahan yang lain.

“Kita sedang dalam proses berunding dengan pemaju itu bagi mencari jalan supaya nasib keluarga ini terbela dan pihak pemaju juga telah bersetuju untuk menangguhkan tempoh pemindahan penduduk berkenaan sehingga 30 September ini,” ujar beliau.

Katanya lagi, kerajaan Negeri juga telah meminta agar pemaju merizabkan satu kawasan dan diberikan hak milik terus kepada penduduk setinggan yang terlibat.

“kita juga telah mengadakan rundingan dengan beberapa pihak seperti pihak pemaju dan agensi-agensi kerajaan lain untuk membantu mereka membina rumah baru.

“Kita ada cadangkan mereka untuk berpindah ke satu kawasan Program Perumahan Rakyat (PPR) namun mereka menolak kerana ianya agak jauh daripada tempat yang diduduki ketika ini,” tambah beliau.