KUALA LUMPUR: Pakatan pembangkang bukan sahaja menyajikan pelbagai nostalgia dongeng tetapi lebih berbahaya dengan menjanjikan harapan palsu.

Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin memberi contoh, janji pembangkang untuk menghapuskan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) hanya setakat menabur janji dan tidak boleh dilaksana.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan rakyat supaya jangan terpedaya dengan nostalgia yang diubah, ditokok tambah sehingga lebih sudu dari kuah dan jauh daripada realiti.

“Kalau mendengar janji pihak lawan, nescaya kita akan jadi Superman, boleh terbang, angkat bangunan namun hakikat dunia tidak sebegitu.

“Contohnya, tiada siapa suka bayar cukai tetapi suka atau tidak, kita tetap kena bayar cukai kerana cukai itulah yang membiayai pembangunan, membantu yang memerlukan, dilabur untuk masa depan,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Pemuda di sini, sebentar tadi.

Khairy turut membidas pakatan pembangkang kononnya parti gabungan itu maksum dan tiada ketirisan serta rasuah.

“Betul ke pembangkang tiada rasuah? Kes banglo Ketua Menteri Pulau Pinang itu apa? Kes rumah Disneyland di Ampang, kes jambatan Klang ketiga kos naik RM41 juta daripada asal, kes permit jual pasir, kos perunding buat lebuh raya dan terowong sampai RM305 juta, bukankah itu semua ketirisan?

“Jangan lupa harapan palsu mereka ini bukan hanya setakat menghapuskan GST tetapi ada macam-macam lagi,” ujarnya.

Oleh kerana itu, kata Khairy, sejarah lama perlu dikaji semula dan difahami agar kesimpulan mudah tidak dibuat oleh para pengundi muda.

Jelas beliau, lebih daripada itu, perlu dikaji implikasi keputusan yang dibuat di zaman tersebut kerana legasi keputusan itu sesetengahnya begitu membebankan rakyat hari ini.