IPOH: Pembangkang Perak ketandusan idea kerana terus mengulangi tuduhan-tuduhan sama yang telah dijelaskan banyak kali, termasuk di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN).

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir memberi contoh, kononnya Perak negeri kedua termiskin yang terus diulang-ulang walaupun telah disanggah, bukan sahaja oleh beliau tetapi juga oleh pakar-pakar ekonomi.

Menurut Dr Zambry, tuduhan di dalam Manifesto Pakatan Harapan (PH) Perak yang diumumkan semalam, jelas menunjukkan seolah-olah mereka ketandusan perkara yang hendak dikemukakan kepada rakyat.

“Seolah-olah mereka ingin mempertontonkan rakyat negeri Perak sudah lupa atau boleh dibuai dengan perkara-perkara yang tidak benar dan mereka terus membuat tuduhan itu dengan menyatakan Perak negeri kedua termiskin…negeri kedua termiskin…negeri kedua termiskin atau negeri termiskin.

“Perkara ini bukannya baru, saya telah jawab, termasuk dari segi pendapatan yang terbaru dikeluarkan dalam 2016. Statistik menunjukkan dengan begitu jelas sekali, tidak ada satu negeri pun yang mencapai tahap 6,000 seperti mana yang diletakkan, termasuk juga di negeri-negeri yang mereka bangga-banggakan.

“Mereka tidak peduli, yang penting adalah mereka melepaskan `kail-kail’ mereka untuk rakyat percaya dan `makan’ dengan apa yang mereka sampaikan. Tapi saya percaya rakyat negeri perak tidak mudah terpengaruh dengan apa yang dikatakan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas majlis pertemuan dengan pemimpin masyarakat Orang Asli Negeri Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini.

Dr Zambry diminta mengulas mengenai kandungan Manifesto PH Perak yang diumumkan di sebuah hotel di sini.

Beliau pembangkang turut menyediakan tayangan video yang menggambarkan seolah-olah Perak ketinggalan di samping isu laporan kewangan Perbadanan Menteri Besar (MB Inc) yang juga telah dijelaskan banyak kali.

“Rakyat negeri Perak tahu dan telahpun disanggah berkali-kali, berhujah, termasuk di dalam Dewan (Dewan Undangan Negeri) tetapi mereka tidak peduli,” ujarnya.

Dr Zambry berkata, manifesto sepatutnya memberikan kepada rakyat mengenai dasar, polisi, rancangan masa depan dan apa yang boleh dikemukakan sebagai alternatif, bukan hanya umum pemberian tertentu.

“Sebagai sebuah negeri yang nak ditadbir dengan dasar-dasar, polisinya dengan dasar ekonomi, dasar sosial dan sebagainya. Itulah yang akan kita lakukan dalam konteks Barisan Nasional Negeri Perak yang akan kita kemukakan dalam manifesto kita nanti,” kata beliau sambil memberitahu, manifesto itu akan diumumkan tidak lama lagi.

Mengenai pengumuman PH Perak bahawa mereka akan memberi cuti pada 10 dan 11 Mei sekiranya menang pilihan raya umum akan datang, Dr Zambry berpendapat, pilihan raya bukan soal cuti tetapi ia sesuatu yang serius, iaitu soal pembentukan kerajaan.

“Saya tidak fikir bahawa rakyat boleh digula-gulakan dengan soal cuti, saya yakin rakyat pun tahu tentang pemilihan tarikh, ianya bukanlah sesuatu yang asing, di dalam beberapa pilihan raya sebelum ini juga diadakan pada hari biasa,” kata beliau.