IPOH: Tindakan pihak pembangkang yang mengulangi semua isu kitar semula di dalam persidangan Dewan Undangan Negeri kali ini dianggap sebagai sama sekali tidak relevan.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, tindakan pihak pembangkang yang masih mengutarakan isu kitar semula yang telah dijawab adalah sebagai taktik untuk menarik kepercayaan rakyat.

Menurut beliau, isu audit untuk Perbadanan Menteri Besar (MB Inc) juga telah dijawab berkali-kali namun masih lagi menjadi persoalan dan dibangkitkan dalam sidang DUN.

“Mereka mempersoalkan audit MB Inc tidak dibentangkan di persidangan DUN Perak sedangkan MB Inc turut wujud di negeri-negeri lain, mereka pun tidak berbuat demikian.

“Bila ditanya kenapa perlu merujuk kepada negeri lain untuk audit berkenaan, bukankah mereka gemar membandingkan kejayaan dan kegagalan Perak dengan negeri lain?

“Boleh, kalau nak audit, sesetengah perkara di MB Inc diusahakan oleh anak syarikat, kalau mereka nak laporan audit boleh pergi dan minta,” katanya dalam sidang media di sini pada Rabu.

Dr Zambry berkata, tindakan pihak pembangkang mengulang-ulang semula kesemua isu tersebut menampakkan seolah-olah MB Inc menyembunyikan sebuah skandal besar.

“MB Inc adalah sebuah perbadanan yang menjana keuntungan dan pulangan buat kerajaan negeri, mengawal ketirisan mineral dan pengurusan pasir kita diiktiraf di peringkat kebangsaan, mungkin mereka berasa tergugat dengan pencapaian ini barulah mereka bertindak mengecam MB Inc,” jelasnya.

Katanya, beliau juga menyedari mengenai tuduhan pemberian tanah seluas 112,000 ekar yang dibawa oleh pembangkang, namun ianya dinyatakan tanpa bukti kukuh.

“Sepatutnya, pihak berkenaan mencari fakta mengenai perkara tersebut sebelum melemparkan tuduham, seolah-olah kerajaan negeri meluluskan sesuatu dengan banyak tetapi tanpa pengurusan hasil yang baik,” tambahnya.