IPOH – Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak hari ini kecoh apabila kesemua ahli pembangkang dari Barisan Nasional (BN) meninggalkan dewan sebagai protes terhadap cara Speaker, Datuk Ngeh Koo Ham mengendalikan persidangan.

Ketua Pembangkang Perak, Datuk Saarani Mohamad mendakwa, Ngeh sebagai Speaker seharusnya bersikap adil dan tidak boleh cederung mempertahankan mana-mana pihak atau mencelah ketika persidangan sedang berlangsung.

“Kita tengok karakter Speaker semakin menjadi-jadi, dia nak menjawab (bagi pihak kerajaan) bila kita (pembangkang) berbahas, keduanya dia juga turut nak membahaskan bajet (ketika ahli dewan lain membahaskan usul bajet 2019).

“Speaker perlu bersikap berkecuali..jangan tunjuk belang, kalau tunjuk belang, berat sebelah tak boleh kendalikan dewan begitu baik..dia misti adil,” katanya pada sidang media sebaik sahaja meninggalkan dewan.

Terdahulu, kekecohan itu berlaku apabila Saarani yang juga Adun Kota Tampan ketika membahaskan bajet 2019 telah mengucapkan tahniah kepada Ngeh kerana menjadi Ahli Parlimen terkaya negara ini melalui pengisytiharan harta yang dibuat oleh speaker berkenaan baru-baru ini.

Namun, ucapan tersebut dibalas Ngeh dengan mengaitkan isu rampasan kuasa kerajaan negeri oleh BN daripada Pakatan Rakyat pada tahun 2009.

Ia kemudiannya menyebabkan dewan bertukar kecoh dan kesemua Adun BN meninggalkan dewan sementara tiga lagi Adun PAS kekal di kerusi masing-masing.

Saarani dalam sidang medianya juga menggesa Speaker menjadi seperti pengadil di dalam perlawanan bola sepak.

“Speaker kena cekap…jadi seperti pengadil bola sepak, kita tengok perlawanan bola sepak kalau pengadil itu tidak cekap, tegas atau adil maka pemain akan bertumbuk,” ujarnya lagi.

Beliau dalam masa sama turut mengesahkan kesemua mereka akan kembali memasuki dewan sebentar lagi.