BAGAN DATUK – Tindakan pembangkang yang sering mengulangi pelbagai fitnah yang sama terhadap pemimpin dan kerajaan Barisan Nasional (BN) menyebabkan rakyat akhirnya terpengaruh dengan tohmahan itu, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menurut beliau, taktik berkenaan mirip teori ‘Spinning Effort’ diguna pakai Menteri Propaganda ketika pemerintahan Nazi di Jerman, Paul Joseph Goebbels, bahawa sesuatu perkara yang buruk dan fitnah akan meresap ke dalam fikiran rakyat jika dimainkan berulang kali.

“Apabila sesuatu yang batil ini diulang-ulang, diulang tayang dan dikitar semula, maka mengikut teori Menteri Propaganda Hitler bernama Joseph Goebbels sesuatu fitnah tohmah ataupun sesuatu yang bidaah atau perkara buruk jika diulang-ulang maka akhirnya ia meresap dalam minda khalayak.

“Jadi inilah yang sedang mereka lakukan kepada kerajaan dengan mengulang isu-isu dan juga melontarkan tohmahan yang berbagai-bagai kepada kerajaan,” katanya dalam ucapan merasmikan majlis pecah tanah Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Bagan Datuk di sini hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Pengerusi BN, berkata pendekatan kerajaan di bawah kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pula ialah memastikan setiap janji ditepati dan apa yang dikata dikota.

Katanya, ia dibuktikan apabila Jawatankuasa Kabinet Meneliti Akujanji Kerajaan Berdasarkan Akujanji PRU-13 yang dipengerusikannya mendapati pencapaian menepati janji itu adalah 99.4 peratus, sekali gus menyerlahkan komitmen kerajaan BN merealisasikan apa yang dijanjikannya.

Ahmad Zahid berkata, BN membuat manifesto bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dengan meneliti semula kejayaan menepati janji yang dibuat menerusi manifesto pada PRU-13.

Menyifatkan manifesto BN berbeza dengan manifesto pakatan pembangkang yang memberikan janji yang tidak berpijak di bumi nyata serta tidak munasabah, janji pakatan pembangkang seperti menghapuskan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) adalah tidak realistik.

Janji seperti itu boleh menyebabkan kehilangan pendapatan negara serta ketidakseimbangan daripada aspek kewangan, katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata pembinaan MRSM Bagan Datuk yang berkonsepkan pendidikan ulul albab adalah selaras dengan sasaran kerajaan mahu melahirkan 125,000 huffaz profesional menjelang tahun 2050.

“Objektif kita ialah untuk ‘mengulamakan’ golongan profesional dan ulama diprofesionalkan kerana dalam mengejar dunia, dunia yang lagi satu jangan dilupakan, perlu ada keseimbangan duniawi dan ukhrawi,” katanya.

Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Azhar Abdul Manaf, berkata MRSM Bagan Datuk adalah MRSM Ulul Albab yang ketujuh selepas MRSM di Gemenceh (Negeri Sembilan), Sungai Besar (Selangor), Kepala Batas (Pulau Pinang), Kota Putra (Terengganu), Semporna (Sabah) dan Ketereh (Kelantan).

“Pembinaan MRSM Bagan Datuk di kawasan seluas 14 hektar dengan kos RM130 juta, juga adalah MRSM kesembilan di Perak, selepas MRSM Taiping, Gerik, Lenggong, Pasir Salak, Pengkalan Hulu, Parit, Kuala Kangsar dan Trolak,” kata beliau.

Menurut Azhar, selain MRSM Bagan Datuk, terdapat empat lagi MRSM yang akan dibina iaitu MRSM Sik di Kedah, MRSM Bera (Pahang), MRSM Ketereh (Kelantan) dan MRSM Tanah Merah (Kelantan) dengan peruntukan keseluruhan RM570 juta.

Katanya, sehingga kini sebanyak 54 MRSM telah diwujudkan di seluruh negara.