KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen pembangkang sedia menyokong usul kerajaan meminda Perkara 119(1) Perlembagaan Persekutuan bagi menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun, jika ia turut merangkumi dua cadangan mereka.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata perkara pertama adalah pindaan itu perlu memasukkan peruntukan yang membolehkan warganegara berusia 18 tahun secara automatik terdaftar sebagai pengundi.

Cadangan kedua, kerajaan perlu meminda Perkara 47 Perlembagaan Persekutuan supaya kelayakan menjadi calon pilihan raya turut diturunkan kepada 18 tahun berbanding usia 21 tahun ketika ini, seiring pindaan Perkara 119(1).

“Blok pembangkang terdiri daripada Barisan Nasional (BN), PAS dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan bawa cadangan ini menerusi usul persendirian.

“Kita sedang siapkan draf usul ini dan ia akan diserahkan kepada Speaker Dewan Rakyat secepat mungkin.

“Seandainya pindaan Perkara 119(1) yang akan dibawa kerajaan tidak sama dengan apa yang hasrat kami, pembangkang tidak akan sokong,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Presiden PAS yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man; Setiausaha Agung PAS yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan dan Ahli Parlimen Tanjong Manis mewakili GPS, Yusuf Abd Wahab.

Baru-baru ini, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengumumkan persetujuan Kabinet menurunkan had umur mengundi pada pilihan raya umum (PRU) daripada 21 tahun kepada 18 tahun.

Usul bagi meminda Perkara 119(1) Perlembagaan Persekutuan itu dijangka dibentangkan oleh Syed Saddiq, esok.

Ditanya rasional pembangkang mencadangkan had umur menjadi calon pilihan raya turut diturunkan kepada 18 tahun, Ismail Sabri berkata, ia sama dengan hujah kerajaan mahu menurunkan had usia mengundi.

Sementara itu, Tuan Ibrahim berkata, jika warganegara berusia 18 tahun tidak didaftarkan sebagai pengundi secara automatik, jumlah pengundi yang layak tetapi tidak berdaftar akan bertambah secara mendadak selepas had usia mengundi diturunkan.

“Sekarang ada empat juta pengundi layak tak daftar, jika daftar pemilih tidak dibuat secara automatik selepas had usia mengundi diturunkan, jumlah ini pasti bertambah.

“Kerajaan perlukan undi pembangkang untuk luluskan usul ini kerana pindaan Perlembagaan perlukan majoriti dua pertiga. Jika perlukan kami, terimalah juga pandangan kami,” katanya. =Beritaharian