LENGGONG: Pihak pembangkang diminta tidak menggelabah mengenai tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan Naib Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Peter Anthony, baru-baru ini.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, penahanan Peter dan beberapa individu lagi berkaitan siasatan penyelewengan dana awam hampir RM180 juta bukan bermotifkan politik.

“Jangan menggelabah dengan apa yang berlaku kerana kalau kita lihat akhir-akhir ini SPRM tidak kenal bulu, kakitangan serta pegawai tinggi kerajaan juga telah ditahan sebelum ini.

“Jadi jangan tiba-tiba rasa ini tujuan politik kerana saya tak nampak ianya begitu,” kata beliau pada sidang media selepas merasmikan Fiesta Ikan Sungai Lenggong di Dataran Tasik Raban di sini pada Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal semalam, kononnya siasatan terhadap kementerian yang pernah diterajuinya dan pemimpin kanan parti berkenaan adalah bermotif politik.

Shabery memberitahu, pihak pembangkang tidak seharusnya bersifat pilih kasih mengenai isu tersebut.

“Kalau ia mengaitkan tokoh politik yang mereka suka, mereka cakap ianya bersifat politik tetapi kalau tokoh politik yang mereka tak suka kena tahan, mereka cakap pula bagus dan mahu disiasat habis-habisan.

“Dalam soal ini, pembangkang dilihat pilih kasih dan cakap tidak serupa bikin, setiap kali terkena batang hidung sendiri sudah mula rasa tak senang,” ujar beliau.