TAPAH: Menteri Besar Perak,Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menggesa pihak pembangkang untuk menghentikan permainan politik murahan yang mempersoalkan tindakannya mengutip sampah bersama masyarakat setempat.

Katanya, kesemua inisiatif yang dijalankan bersama masyarakat setempat secara bersepadu adalah usaha untuk membudayakan persekitaran bersih dan bukan hanya gimik politik.

Menyentuh mengenai kawasan Tasek, Ipoh yang diisytiharkan sebagai lokasi wabak denggi, Dr Zambry berkata ini adalah isu yang perlu diambil serius dan tidak dijadikan mainan politik pihak pembangkang kelak.

“Sebab itulah, saya selalu tekankan mengenai program pembersihan, cuci-cuci sampah sarap semua ini, janganlah dipolitikkan kerana apa yang kita lakukan adalah untuk negeri kita sendiri, masalah begini (isu denggi) sebenarnya dapat kita elakkan

“Sekiranya kita tidak menanam satu sikap di kalangan masyarakat untuk menjaga kebersihan di satu-satu kawasan, inilah contoh yang akan berlaku dan saya tidak mahu sekiranya ini dijadikan soal politik, saya ulang ini bukan soal politik,”katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menjalankan program bersama masyarakat India sempena Program Permukiman Daerah Batang Padang, di Dewan Kg Samy, di sini hari ini.

Tegasnya, pihak pembangkang perlu menghentikan sikap memainkan isu yang sekadar menarik perhatian rakyat setempat bagi publisiti politik masing-masing dan bersifat kepentingan individu.

“Dia mainkan isu ini, dia hanya tahu saya turun menjaga masyarakat dan melakukan program-program sebegini, dia jadikan isu politik seolah-olah saya menggunakan pendekatan politik murahan,”katanya lagi.