BERUAS: Pembangunan Beruas tidak akan dipinggirkan, sebaliknya akan dimasukkan ke dalam kawasan pembangunan Daerah Manjung.

Menteri Besar, Datuk SeriDr Zambry Abd Kadir berkata, di samping itu Beruas juga akan mendapat limpahan daripada pembinaan Lebuhraya Pantai Barat Banting – Taiping yang sedang dalam pembinaan.

Menurut beliau, kerajaan negeri tidak mahu pembangunan hanya tertumpu di bandar-bandar besar seperti Ipoh, sebaliknya turut dinikmati bandar-bandar kecil.

“Ya memang kita hendak bandaraya yang hebat tetapi dalam masa sama kita mahu Kubu Gajah, Bagan Serai dan Tanjung Malim juga membangun,” katanya ketika berucap menutup Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Beruas di Dewan Inderawati Beruas di sini pada Ahad.

Hadir sama Ketua UMNO Bahagian Beruas, Datuk Abdul Manaf Hashim dan wakil Perhubungan UMNO Negeri yang juga Ketua UMNO Bahagian Parit, Datuk Mohd Zaim Abu Hassan.

perwakilan-umno-beruas 5
Dr Zambry berkata, kerajaan negeri melakukan pelbagai pembangunan di negeri ini, demi untuk kesejahteraan rakyat di negeri ini.

Hasilnya, ujar beliau, pelbagai kejayaan telah diperolehi, termasuk yang tidak pernah terfikir sebelum ini.

Beliau memberi contoh, antara kejayaan itu ialah Ipoh menjadi pihak berkuasa tempatan terbaik di Malaysia dan Perak muncul negeri kedua terbersih negara.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional Perak menyeru ahli-ahli parti supaya bekerja kuat dan bersatu untuk mengekalkan kemenangan kerusi DUN Pengkalan Bharu di samping merampas semula Parlimen Beruas.

“Kalau tidak bersatu, letaklah calon terbaik manapun, kita tidak akan berjaya tetapi jika kita bersatu, letaklah siapapun calon, insya Allah kita akan berjaya,” ujarnya.