BAWONG: Projek-projek pembangunan untuk kemudahan masyarakat Orang Asli di Perak akan diteruskan, kata Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Menurut beliau, kerajaan negeri tidak pernah mengabaikan perkampungan Orang Asli, selaras dengan slogan Tiada Tertinggal, Tiada Terpinggir.

Beliau memberi contoh, jalan ke Kuala Mu kini telah ditar, jauh lebih baik ketika lawatan beliau tahun lalu.

Di samping itu, ujarnya, pelajar Orang Asli juga menikmati kemudahan sama seperti yang dinikmati pelajar lain.

“Malah, pelajar Orang Asli juga disediakan asrama penuh, yang pertama seumpamanya di negara ini,” katanya ketika berucap di majlis Ziarah Mahabbah di Pos Perwor, dekat sini pada Selasa.

Pada majlis itu, seramai 279 orang dari penempatan berkenaan menerima bantuan kotak barangan keperluan harian.

Sementara itu, sempena Karnival Mahabbah di pekarangan masjid Kampung Orang Asli Bawong selepas itu, Dr Zambry mengambil kesempatan menyambut Hari Guru yang jatuh pada 16 Mei.

Sambil mengucapkan selamat hari guru, beliau berharap mereka akan terus menabur khidmat mendidik anak bangsa.

“Merekalah yang mendidik kita sehingga menjadi manusia hari ini,” tambahnya.

Selain menyampaian bantuan kotak makanan kepada 100 penerima dari kalangan Orang Asli, Dr Zambry turut menyampaikan Anugerah Murabbi (Tokoh Guru) kepada dua penerima, Rafiah Anjang (kategori sekolah agama rakyat) dan Norliah Kamari (kategori tadika).