PARIT BUNTAR – Idea pembangunan Pekan Kecil Dataran Amanjaya dirancang kerajaan negeri melalui Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) sejak tahun 2013 diiktiraf pihak antarabangsa sebagai kreatif bagi memacu pembangunan mampan.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, idea itu tercetus melalui inisiatif berterusan kerajaan negeri menganjurkan persidangan ilmu seperti Pangkor International Development Dialogue (PIDD) yang disertakan penglibatan negara luar.

Menurutnya, hasil persidangan ilmu itu membolehkan kerajaan negeri mencetuskan idea pembangunan pekan kecil berdasarkan pendekatan pengagihan konsep pembangunan secara adil.

“Idea pembangunan itu diberi penilaian tinggi oleh beberapa universiti dan badan penilaian antarabangsa dan berkat daripada inisiatif perlaksanaannya, salah seorang exco kerajaan negeri kita (Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid) menerima pengiktirafan antarabangsa.

“Mereka melihat kerajaan kreatif merencana idea ini di mana bagi setiap kawasan di seluruh Perak terutama di kawasan luar bandar kurang membangun, idea ini menjadi pemangkin kepada pembangunan menyeluruh kawasan tersebut,”katanya kepada pemberita pada majlis perasmian Dataran Amanjaya Simpang Lima, di sini hari ini.

Majlis dirasmikan beliau turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif PKNP, Datuk Aminuddin Md Desa, Calon BN Parlimen Parit Buntar, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan, Calon BN Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali dan calon-calon lima Dun daerah Kerian.

Dr Zambry berkata, pembangunan pekan kecil Amanjaya ini turut memberi ruang bagi pembangunan usahawan khususnya bumiputera serta masyarakat tempatan bagi menjalankan perniagaan di kawasan tersusun dan teratur.

Menurutnya, selain menjadi pemangkin merangsang ekonomi setempat, pekan kecil turut membina asas kepada pembangunan infrastruktur fizikal dan meningkatkan interaksi masyarakat kawasan itu.

“Paling penting, idea pekan kecil dapat menukar landskap asal pekan terbabit yang yang kepada moden, kemas dan terancang di samping memberi identiti wajah baharu.

“Selain itu, pembangunan pekan kecil dijangka mewujudkan integrasi pusat komersil berdaya saing dengan memberi persekitaran kondusif kepada para peniaga dan memberi kemudahan selesa kepada masyarakat,”katanya.

Dr Zambry berkata, idea pembangunan pekan kecil akhirnya berkembang di seluruh Perak dan kerajaan negeri sudah membina 14 pekan kecil sehingga kini.

Menurutnya, setiap projek dibangunkan dengan kos sekitar dua hingga tiga juta, bergantung kepada kedudukan lokasi dipilih dan perancangan ini merupakan sumbangan Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perak (PKNP).

“Kita hendakkan mereka memainkan peranan membangun di kawasan pinggiran bandar dan kerajaan negeri akan terus membina projek pekan kecil di tempat-tempat difikirkan perlu,”katanya.

BERITA BERKENAANTun M tersasul Minta Jangan Undi Pakatan Harapan