PASIR SALAK – Pelaksanaan Pulau Pangkor sebagai pulau bebas cukai bermula tahun hadapan merupakan antara projek berimpak tinggi dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, bagi menjayakan rancangan Pulau Pangkor sebagai pulau bebas cukai ia memerlukan peruntukan sebanyak RM486 juta keseluruhannya.

“Jemaah menteri telah pun meluluskan Pulau Pangkor sebagai pulau bebas cukai mulai tahun hadapan dan keseluruhan peruntukan yang diperlukan ialah RM486 juta.

“Maka untuk mendukung usaha ini kita memerlukan kajian dibuat segera oleh kerajaan negeri,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Silaturrahmi Bersama Warga Peserta Felcra Seberang Perak di Dewan Besar Felcra Bandar Seberang Perak, di sini hari ini.

Menurut Mohamed Azmin, bagi tujuan tersebut kementeriannya telah menyediakan peruntukan sebanyak RM2 juta kepada kerajaan Perak bagi memulakan kajian untuk melaksanakan projek bebas cukai di Pulau Pangkor.

“Daripada kajian ini kita akan dapat meneliti apa infrastruktur diperlukan bagi menjayakan pulau bebas cukai ini,” katanya.

Terdahulu, Mohamed Azmin telah mengadakan perjumpaan bersama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu di pejabat beliau di Bangunan Perak Darul Ridzuan bagi membincangkan hala tuju Perak dalam penyediaan RMK-12, pagi tadi.

Mengulas lanjut Mohamed Azmin berkata, selain pelaksanaan Pulau Pangkor sebagai pulau bebas cukai, beberapa perkara lain turut dibincangkan antaranya pembesaran Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) di Ipoh.

“Selain itu, industri perkhidmatan air di Sungai Perak, produk pelancongan yang banyak serta industri automotif antara projek yang dapat menjamin pelaburan lebih besar di negeri ini turut dibincangkan,” katanya.

 

-SINARHARIAN