SLIM RIVER: Pembangunan ladang kelapa sawit di atas tanah yang dianugerahkan kerajaan negeri kepada beberapa pihak berjalan dengan baik dan mula mengeluarkan hasil.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, beliau melihat sendiri perkembangan begitu baik di ladang-ladang yang dianugerahkan untuk Majlis Agama Islam Perak, Yayasan Perak, sekolah Cina dan sekolah Tamil.

“Ia tidak seperti yang digembar-gemburkan oleh sesetengah pihak kononnya tidak siap, khususnya terhadap tanah untuk sekolah Tamil,” katanya pada sidang media selepas majlis makan tengahari bersama peneroka Felda Sungai Behrang di sini pada Rabu.

Hadir sama Exco kerajaan negeri, Datuk Saarani Mohamad, Datuk Rusnah Kasim dan Ahli Dewan Undangan Negeri Slim, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib.

Menurut Dr Zambry, tiada masalah besar dalam pembangunan tanah-tanah berkenaan walaupun ada pihak yang telah mempolitikkannya.

“Memanglah ia mengambil masa sedikit, itu perkara biasa dalam pembangunan kawasan ladang baru,” ujarnya.

Beliau memberitahu, ladang MAIPk untuk saraan masjid-masjid seluruh negeri dan ladang untuk bantuan kepada sekolah Cina telah mula mengeluarkan hasil.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk, Dr Amiruddin Muhamed berkata, ladang MAIPk telah mengeluarkan hasil sejak enam bulan lalu.

“Kami sudah mula tuai dan alhamdulillah, sekali tuaian kita boleh mendapat kira-kira 40 metrik tan,” ujarnya.