IPOH: Pembangunan tidak terkawal di kawasan cerun atas nama pembangunan di kawasan Cameron Highlands menjadi penyebab utama kejadian tanah runtuh yang sering dilaporkan sejak kebelakangan ini di kawasan peranginan tanah tinggi itu.

Selain aktiviti pembangunan, kesan penerokaan tanah tidak terkawal tanpa mengambil kira impak terhadap alam sekitar juga menjadi antara punca beberapa kejadian tanah runtuh berlaku di kawasan tanaman sayur, malah ada antara kejadian turut mengakibatkan kehilangan nyawa.

Presiden Persatuan Kesedaran Alam Sekitar Cameron Highlands (REACH), R Ramakrishnan, berkata meskipun beberapa siri kejadian tanah runtuh dilaporkan berlaku, namun kerja pembinaan di kawasan cerun di sekitar kawasan Cameron Highlands ditambah dengan aktiviti pertanian tidak terkawal yang sedang berlangsung dilihat banyak memburukkan lagi keadaan.

“Pembangunan yang kini pesat berlangsung di Cameron Highlands langsung tidak mengambil kira jumlah penduduk yang boleh ditampung di kawasan ini kerana mempunyai kawasan yang sangat terhad.

“Unit Perancangan Ekonomi (EPU) Jabatan Perdana Menteri sebelum ini sudah menetapkan bahawa jumlah penduduk yang boleh ditampung di Cameron Highlands adalah seramai 50,000 orang dan kita boleh lihat apa yang berlaku ketika ini ia sudah pun melebihi had yang sepatutnya.

“Apabila ia melebihi had, kita mengundang bencana kerana pembangunan yang berlangsung tidak mengambil kira had yang sudah ditetapkan dan apa yang menyedihkan, kebanyakan projek pembangunan yang berlaku di Cameron Highlands juga bukanlah mampu milik dan bukan dibangunkan untuk penduduk tempatan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tun Dr Mahathir Mohamad, semalam, menegur pihak yang melakukan kegiatan pembangunan tidak teratur dan menebang pokok secara tidak teratur sehingga berlaku malapetaka susulan kejadian tanah runtuh di Pulau Pinang.

Perdana Menteri turut mengakui masalah yang berlaku di Malaysia ketika ini adalah akibat terlalu banyak kegiatan pembalakan hingga kerap berlakunya tanah runtuh di kawasan bukit.

Pada 14 Oktober lalu, tiga pekerja kebun maut selepas rumah kongsi didiami tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Batu 49, Kampung Tiga, Kuala Terla, dekat Cameron Highlands, bagaimanapun Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menegaskan kejadian tanah runtuh itu berpunca daripada hujan lebat, bukannya aktiviti penerokaan tanah.

Ramakrishnan berkata, apa yang menyedihkan pihak berwajib dilihat tidak memandang serius dengan pelbagai isu dan permasalahan yang berlaku hingga mengakibatkan kejadian sama sering berulang sedangkan REACH berulang kali menyatakan bahawa masalah yang disuarakan adalah sangat serius.

“REACH memang mengharapkan pihak berwajib akan mengubah cara pemikiran mereka dalam menangani isu dan permasalahan yang berlaku ini kerana ia bukan benda yang baharu.

“Kita tidak mahu perubahan hanya berlaku apabila berlakunya bencana kerana apa yang sepatutnya kita lakukan adalah dengan menangani masalah sejak awal,” katanya.

Katanya, dalam menangani isu di Cameron Highlands ia bukan kerja individu sebaliknya memerlukan kerjasama rapat semua pihak termasuk penduduk, pengunjung, pekebun dan semua warga yang ada dalam memastikan kawasan Cameron Highlands selamat untuk dikunjungi dan didiami – berita harian