Oleh: Shafiq Noordin

IPOH: Seorang pembantu pertanian didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, terhadap 13 pertuduhan mengemukakan perakuan palsu dalam tuntutan bantuan tanaman semula getah, tujuh tahun lalu.

Hakim S. Indra Nehru membuat keputusan itu setelah mendapati pembelaan Azahar Abdul Hamid, 49, gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan.

Sehubungan itu, Hakim Indra menjatuhkan hukuman penjara dua tahun dan denda RM130,000 ke atas Azahar.

Azahar yang bertugas di Pejabat Lembaga Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) Stesen Larut Matang dan Selama didapati mengemukakan perakuan palsu itu dengan niat memperdaya majikannya.

Dia didapati memalsukan perakuan dalam Laporan Pemeriksaan Pendahuluan/Bantuan Pertama/Berturut TS 18A (Komp) membabitkan tujuh lot tanah kepunyaan Abdul Aziz Khan Abdul Kayum Khan di Mukim Sungai Tinggi.

Azahar didapati membuat perakuan di borang terbabit bahawa kebun getah tersebut layak untuk menerima bantuan tanam semula peringkat ansuran kedua sedangkan pekebun kecil berkenaan hanya layak menerima bantuan peringkat kedua.

Dia didapati melakukan perbuatan itu di Pejabat Risda Daerah Larut Matang dan Kerian, Jalan Kota, Taiping pada 28 September dan 8 November 2010 serta 21 April dan 16 Mei 2011.

Bagi kesemua pertuduhan itu, Azahar disabit kesalahan di bawah Seksyen 18, Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama.

Hakim Indra membenarkan permohonan Azahar melalui peguamnya M. Kathan untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara sementara menunggu notis rayuan difailkan.

Bagaimanapun, beliau meletakkan syarat iaitu wang jaminan Azahar dinaikkan kepada RM100,000 bagi lima fail berdaftar membabitkan semua pertuduhan.

Kes pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Wan Ahmad Nizam Wan Omar.