MELAKA – Seorang pembantu restoran makanan Cina dibunuh kejam dengan lebih 20 kesan tikaman dan kelar ditemui pada tubuhnya di sebuah rumah kedai di Taman Kerjasama, Bukit Beruang di sini semalam.

Mayat Chia Chun Kit, 21, ditemui dalam keadaan terlentang dan berlumuran darah di bahagian dapur premis ber­kenaan oleh rakan sekerjanya pada pukul 6.15 pagi.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Shaikh Abdul Adziz Shaikh Abdullah berkata, pihak polis telah menemui senjata tajam berhampiran si mati yang dipercayai telah digunakan dalam kejadian tersebut.

“Siasatan mendapati, mangsa tinggal di premis berkenaan bersama beberapa warga asing sejak enam bulan lalu,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Susulan kejadian itu, katanya, polis menahan dua lelaki warga asing pada pukul 10.30 pagi kira-kira dua kilome­ter dari lokasi mangsa dibunuh.

“Motif kejadian masih disiasat dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Melaka di sini untuk dibedah siasat. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

-Kosmo!