IPOH: Pembatalan pewartaan Kuala Sepetang sebagai kawasan wabak rabies perlu dilakukan mengikut prosedur, kata Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Menurut Dr Zambry, perkara tersebut bukannya perkara main-main kerana ia melibatkan kepentingan rakyat.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan semua pihak, khususnya rakyat di kawasan berkenaan, supaya bersabar dan menyerahkan perkara itu kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV).

“Perkara ini bukan macam kita buka kedai, boleh buka dan tutup sesuka hati, ia melibatkan soal penyakit dan kepentingan rakyat,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Jasamu Dikenang 2017 di Hotel Casuarina @ Meru di sini pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan media mengenai desakan supaya pewartaan kawasan rabies itu ditarik secepat mungkin bagi memastikan kawasan ini terus menerima kehadiran pelancong.

Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Sepetang, Chua Yee Ling berkata, beliau difahamkan proses pembatalan itu ada prosedur tertentu.

Dr Zambry percaya, JPV akan membuat penilaian terperinci dan memastikan 100 peratus kawasan tersebut bebas rabies sebelum menarik balik pewartaan itu.