KUALA LUMPUR : Pembedahan penceramah bebas, Azhar Idrus yang pada mulanya dijangka dilakukan pagi tadi tertangguh ke sebelah petang akibat masalah elektrik.

Perkara itu dimaklumkan melalui kenyataan Facebook pendakwah berkenaan.

“Perkembangan terkini, ustaz dah masuk ke dalam dewan bedah lebih kurang jam empat petang tadi, tertunda kerana masalah elektrikal.

“Dijangka pembedahan selesai dalam jam tujuh atau lapan malam. Doakan semoga Allah permudahkan urusan semua yang terlibat dalam pembedahan tersebut,” kata kenyataan yang dimuat naik petang tadi.

Akaun Facebook pendakwa itu semalam memaklumkan bahawa Azhar pada mulanya dijangka untuk dibedah pukul 10.00 pagi hari ini.

Pada kejadian semalam, Azhar mengalami kecederaan selepas basikal yang ditunggangnya dikatakan berhenti mengejut menyebabkan dia terjatuh.

Kejadian itu mengakibatkan tangan kiri dan hidungnya patah sebelum dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk mendapatkan rawatan.

Azhar sebelum itu menyertai kayuhan santai bersama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah di sekitar bandar raya Kuala Terengganu.

Pembantu khas penceramah itu, Wan Safari Wan Ahmad bagaimanapun memaklumkan Azhar dalam keadaan stabil.

“Pembedahan mungkin mengambil masa empat jam. Selain patah tangan kiri dan hidung, beliau turut patah dua gigi hadapan kerana kejadian itu.

“Ustaz Azhar stabil dan sempat bergurau dengan saya mengenai dua giginya yang patah ketika ditemui di hospital malam tadi,” katanya