Oleh:Nazialita Geynna Maharan

SERI ISKANDAR: Pembelajaran sepanjang hayat merupakan trend yang bertepatan dengan peningkatan pengiktirafan bahawa pendidikan lanjutan, latihan dan kemahiran diperlukan dalam dunia yang semakin berubah dan tidak menentu, titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Baginda bertitah, terdapat beberapa inisiatif penting di dalam perlaksanaan pembelajaran tersebut di Malaysia yang melibatkan usaha untuk mengenal pasti kebolehan dan pengalaman seseorang pelajar serta kaedah penilaian di luar bidang peperiksaan.

fc2271f6-066d-4f91-8138-6773a0fbbd50

Titah baginda, penambahbaikan hubungan di antara pengajian tinggi dan industri turut menyumbang kepada keberkesanan subjek yang disampaikan, di samping meningkatkan akses kepada pengajian tinggi melebihi demografi yang dikuasai generasi muda pada hari ini.

Sultan Nazrin bertitah, negara lain turut meletakkan pelaburan besar dalam aspek pembelajaran lanjutan dan pendidikan untuk golongan dewasa.

Baginda memberi contoh Singapura yang menubuhkan SkillsFuture Singapore yang bermatlamat untuk membimbing rakyat republik itu untuk meningkatkan kerjaya melalui pendidikan yang terfokus serta program kemahiran dengan kerjasama dan jalinan erat badan industri.

“Evolusi ekosistem pendidikan secara tradisional ini akan memerlukan pertukaran polisi berkaitan serta inovasi. Kini, kita sedang merangka polisi yang lebih komprehensif untuk mengendalikan isu-isu yang penting ini, selaras dalam konteks Malaysia Higher Education (MyHE) 4.0.

“Untuk mencapai perubahan radikal yang diperlukan, adalah penting untuk memupuk pendekatan yang berteraskan keusahawanan dalam aspek pengajian tinggi, berbanding yang sedia ada kini.

8f28d321-c2b2-46c5-a4ae-c089edb451b4

“Memang aka nada beberapa risiko yang bakal dihadapi namun, adalah perlu untuk mengambil tindakan berisiko dan semangat keusahawanan ini untuk mencapai pembaharuan pendidikan ini,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah demikian dalam Titah Diraja bertajuk Building A Dynamic and Inclusive Education Ecosystem bersempena dengan ulangtahun ke-20 Universiti Teknologi Petronas (UTP) yang berlangsung di Dewan Canselor, UTP di sini, sebentar tadi.

Turut hadir ialah Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan dan Naib Canselor UTP, Prof Dr Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib.

0a1279ac-ce42-4eb4-b1ff-668111de4c31