IPOH: Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menjelaskan bahawa, beliau memilih melakukan pembentangan Bajet 2018 dengan naratif kejayaan dan pendekatan yang lebih bersifat mikro sebagai jawapan kepada soalan Perak Ada Apa.

 Menurut beliau, apabila pembentangan itu menunjukkan statistik dan kejayaan-kejayaan, dikilas pula dengan hujah, ia tidak menunjukkan realiti.

 Dr Zambry berkata, jika beliau tidak mengemukakan bukti-bukti, maka sudah pasti pembangkang mengaitkan usaha kerajaan dengan kegagalan.

 Malangnya, kata beliau, apabila ditunjuk bukti, dikatakan jumlah yang tidak mendapat manfaat lebih besar kerana hanya dibawa kisah kejayaan seorang dua sahaja.

 “Apakah saya perlu membawa 104,000 anak Perak yang telah beroleh dermasiswa. Apakah saya harus membawa 12,098 anak-anak yang telah memperolehi RM200 di bawah Tabung Pendidikan Amanjaya.

 “Apakah saya perlu membariskan ribuan penerima mikro kredit yang telah berjaya, ratusan penerima kiosk Amanjaya yang telah berubah nasib mereka, ribuan yang menerima manfaat Kedai Bergerak 1Amanjaya, ribuan penerima bantuan YBU.

“Begitu juga, masakan lebih 12,000 mereka yang telah beroleh manfaat rumah kos rendah dan mampu milik serta lebih 30,000 yang sedang menunggu rumah mereka siap untuk membuktikan kejayaan kita.

 “Apabila statistik menunjukkan kita berjaya membina rumah kos rendah dan mampu milik mengatasi sasaran 20,000 dipersoal pula agihan mengikut DUN dan tidak mustahil demi untuk memperlihatkan pencapaian ini tidak bermakna akan ditanya pula pembinaan mengikut mukim,” katanya ketika menggulung perbahasan di Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

 Dr Zambry berkata, sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, pihaknya akan meneruskan usaha kerana sedar rakyat masih memerlukan pembelaan.

 Namun, kata beliau, persoalan besar yang harus difahami, dalam mengukur kejayaan, perlu ada indeks atau statistik bagi membolehkan penilaian dibuat.

 “Jika indeks atau statistik yang dikemukakan dipersetankan begitu sahaja, apakah petunjuk yang boleh dipegang? Tanya beliau.