Oleh:Nazialita Geynna Maharan

SUNGAI SIPUT: Kakitangan bawahan diminta tidak gusar dengan langkah kerajaan negeri memecat pihak pengurusan di beberapa syarikat kerajaan (GLC) baru-baru ini.

 

Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu berkata pemecatan itu hanya terpakai untuk mereka yang memegang jawatan di GLC atas dasar lantikan politik.

 

Beliau memberi jaminan golongan berpendapatan rendah bukanlah sasaran kerajaan negeri.

“Kalau pegawai peringkat CEO,CFO,dan COO saya buang tu janganlah risau. Kalau tujuh orang kita buang, kita dah selamatkan ratusan ribu tetapi jika ada pemandu, kakitangan rendah,…takkan kita nak buang dan memotong punca pendapatan.

“Kepada golongan berpendapatan rendah, saya akan cari jalan untuk perkara ini, kerja kita bukan nak pancung sahaja,”katanya ketika berucap dalam Majlis Rumah Terbuka PPBM Sungai Siput, di sini hari ini.

Katanya, buat masa ini beliau akan cuba mengenalpasti kesemua inisiatif yang boleh dilaksanakan untuk memastikan GLC di negeri ini tidak diisi dengan lantikan politik semata-mata.

“Saya tidak mahu terus berlari, saya nak bertatih. Kalau saya berlari, saya jatuh dan terus terhantuk.

“Saya akan buat persiapan untuk ini, kerana saya sedar tanggungjawab saya, sebagai Menteri Besar sekiranya saya bersedia dari semua aspek, pastinya negeri yang mendapat manfaat,”ujarnya lagi.

Menurutnya, pembekalan air percuma serta mengekang budaya ketirisan dalam GLC merupakan antara manifesto utama Pakatan Harapan Perak yang sedang giat dilaksanakan dengan penuh serius dan tersusun.