IPOH – Pemberhentian sembilan pekerja sebuah kilang simen di Chemor, di sini dibuat mengikut peraturan dan prosedur sewajarnya, kata Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia Perak, A. Sivanesan.

Beliau berkata, pengurusan kilang itu telah memberi satu bulan notis pemberhentian pada 15 Nov lepas dan sedia membayar pampasan mengikut Akta Kerja 1955 kepada yang telah bekerja lebih lima tahun berdasarkan syarat ditetapkan.

“Pada surat pemberhentian, majikan menyatakan alasan pemberhentian adalah disebabkan yang pertama mahu mengurangkan kos; kedua akibat penurunan projek dan ketiga kerana automasi sebahagian syarikat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan pekerja terlibat, pengurusan kilang, Jabatan Tenaga Kerja dan Jabatan Perhubungan Perusahaan Malaysia (JPPM) di kilang berkenaan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Sivanesan yang juga Adun Behrang berkata, walaupun memberhentikan pekerja adalah hak majikan, namun terdapat beberapa langkah lain boleh dipertimbang termasuk mengurangkan shif atau memberhentikan pemberian bonus.

Bersimpati dengan nasib pekerja terbabit, Sivanesan menyarankan semua mereka yang berumur antara 31 hingga 54 tahun membuat aduan kepada JPPM mengikut Akta Perhubungan Perusahaan 1967.

“Jabatan itu akan mengadakan satu mesyuarat pendamaian dan jika gagal menyelesaikan di peringkat itu maka kes ini akan dirujuk kepada Kementerian Sumber Manusia sebelum dibawa ke Mahkamah Perusahaan,” katanya.

Menurut Sivanesan pada Jun lepas, enam pekerja telah diberhentikan dan beberapa kes telah dirujuk kepada Kementerian Sumber Manusia.

Kilang yang dibina 1964 itu, kini mempunyai 149 pekerja dan kesemua sembilan pekerja yang diberhentikan telah bekerja antara tiga hingga 23 tahun. – Bernama