PETALING JAYA : Pemantau pilihan raya Bersih 2.0 mempersoalkan pemberian geran oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar Rina Harun menjelang Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai.

Meskipun undang-undang masih belum menjadikan penggunaan kedudukan dan sumber kerajaan untuk berkempen bagi parti politik suatu kesalahan, Bersih 2.0 berkata tiada pemisahan antara peranan kerajaan dan tugas parti dalam kempen pilihan raya bercanggah dengan prinsip adil dan bersih.

“Bersih 2.0 menyeru kerajaan Pakatan Harapan untuk meletakkan standard yang tinggi bagi etika pilihan raya dan mematuhi Akta Kesalahan Pilihan Raya serta undang-undang lain yang berkaitan,” kata jawatankuasa pemandunya dalam kenyataan hari ini.

Rina berada di Kukup, Johor semalam untuk majlis penyerahan geran Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Parlimen Tanjung Piai, yang turut disertai Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar Johor, Tosrin Jarvanthi.

Akhbar Berita Harian melaporkan Rina berkata sebanyak 23 permohonan geran MPKK diluluskan dengan peruntukan RM230,000 bagi Parlimen Tanjung Piai.

Ia sebahagian daripada 469 geran MPKK bernilai RM10,000 setiap satu yang diluluskan di Johor bagi setiap kampung untuk aktiviti kemasyarakatan.

Pemantau itu bagaimanapun sedar fungsi kerajaan perlu diteruskan semasa RPK, kerana tidak realistik untuk menghentikannya setiap kali adanya pilihan raya.

“Namun kami mahu mencadangkan garis panduan bagi memastikan padang permainan sama rata bagi semua parti yang bertanding,” tambahnya.

Lima cadangan dinyatakan dalam kenyataan daripada jawatankuasa pemandu pemantau pilihan raya itu, iaitu:

* Lawatan dan majlis rasmi kementerian ke kawasan yang akan menghadapi PRK perlu dihentikan sebaik speaker Dewan Rakyat atau DUN mengisytiharkan kekosongan kerusi.

* Tidak ada sumber kerajaan seperti dana awam, staf dan kenderaan boleh digerakkan oleh menteri dan timbalan menteri yang sedang berkempen sebagai pemimpin parti, dengan pengecualian terhadap kenderaan khas serta anggota keselamatan khas.

* Sekiranya pesawat kerajaan, helicopter atau bot yang digunakan untuk perjalanan ke kawasan PRK, kos-kos yang setara untuk menyewakan apa-apa kenderaan dari entiti persendirian perlu dibayar kepada Perbendaharaan.

* Sebarang peruntukan baru, pengumuman projek atau bantuan tidak boleh diberikan eksklusif kepada kawasan PRK sahaja tetapi perlu diberikan ke seluruh negara atau negeri.

* Janji bersyarat yang berbentuk material atau wujudnya pertimbangan yang berharga yang bergantung kepada kemenangan calon boleh dianggap sebagai satu bentuk rasuah.

Dalam pada itu, Bersih 2.0 bersama-sama Jawatankuasa Pembaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya sedang membuat semakan menyeluruh terhadap undang-undang sedia ada bagi memperjelaskan beberapa kesalahan dan memasukkan beberapa pertimbangan baru.

Sehingga cadangan itu menjadi undang-undang, Bersih 2.0 menggesa semua parti patuhi undang-undang sedia ada serta prinsip pilihan raya yang bebas dan adil, agar pengundi dapat membuat pilihan bermaklumat berdasarkan isu yang penting bagi mereka.

PRK Tanjung Piai akan diadakan pada 16 Nov dan penamaan calon pada 2 Nov susulan kematian penyandang, Md Farid Md Rafik pada 21 Sept lalu akibat komplikasi jantung.