IPOH : Isu pemberian hak milik kekal tanah boleh diselesaikan melalui bidang kuasa negeri tanpa perlu mendapat persetujuan Perdana Menteri dan Timbalannya.

Naib Pengerusi DAP Perak, Dr Abdul Aziz Bari berkata, perkara itu adalah jelas disebut di dalam Jadual 9 Perlembagaan Persekutuan dan Kanun Tanah Negara.

Sehubungan itu, katanya, ia tidak sepatutnya menjadi isu untuk dilaksanakan kerana ia adalah janji manifesto Pakatan Harapan (PH) negeri Perak.

“Jadi bila janji manifesto, ia tidak perlukan keputusan ataupun resolusi kabinet ke ataupun exco.

“Ia adalah yang mesti ditunaikan sebab rakyat telah memberi sokongan dan kemenangan, maka kerajaan mesti menunaikan janji itu,” katanya ketika ditemui selepas program Kembali Ke Sekolah di Kampung Cempaka Sari di sini, hari ini.

Pada Khamis, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu meminta semua pihak supaya tidak mempolemik atau mempolitikkan isu pemberian hak milik tanah 999 tahun kepada kampung-kampung baharu di negeri Perak.

Katanya, kerajaan negeri akan mendapatkan nasihat Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta Majlis Tanah Negeri (MTN) berkaitan isu tersebut sebelum melakukan tindakan seterusnya.

Abdul Aziz berkata, isu hak milik kekal tanah tidak boleh dilihat daripada lensa kaum, sebaliknya perlu dilihat dari segi undang-undang dan keadilan sosial.

Menurutnya, tanah adalah untuk rakyat membina rumah, bukan untuk tauke-tauke atau koperat menambah kekayaan dan ia juga bukan beratus hektar dan bukan juga untuk menggondolkan bukit.

“Jadi saya tidak nampak ada isu di sini, kita kena hentikan melihat isu ini daripada persepsi kaum.

“Saya lihat banyak dalam blog, dalam facebook dan sebagainya, bila sebut tanah hak milik kekal kaum Melayu miskin, tanah Melayu habis, Cina rampas tanah Melayu dan sebagainya,” ujarnya.

Abdul Aziz berkata, permintaan untuk membincangkan isu itu di dalam PH memang pernah dibangkitkan tetapi ia tidak pernah berlaku.

Beliau turut mendedahkan manifesto PH Perak ditulis oleh seseorang daripada parti Amanah, bukannya DAP.

“Jadi, jangan timbulkan isu kaum dan jangan salahkan DAP, ini soal perkara yang sudah dipersetujui, walaupun saya tiada di situ waktu perbincangan, tetapi sebagai kerajaan, kita bertanggungjawab untuk melaksanakan segala janji yang kita buat,” tegasnya.