KAMPAR – Pemberian taraf kewarganegaraan untuk pemegang kad pengenalan merah berstatus pemastautin tetap yang berusia 60 tahun ke atas bukan hanya khas bagi sesuatu kaum sahaja tapi untuk semua.

Menteri Sumber Manusia M. Kula Segaran berkata, kekliruan mengenai perkara tersebut di kalangan orang ramai yang beranggapan ia hanya untuk kaum India sahaja adalah tidak benar.

“Ia bukan untuk kaum India sahaja, ianya untuk semua kaum Cina, Melayu, India, Kadazan, Iban dan sesiapa sahaja yang mempunyai kad pengenalan merah yang telah berusia lebih 60 tahun akan dapat kad pengenalan biru.

“Semalam di dalam kabinet telah pun dikeluarkan arahan mengenai perkara ini kerana ada berita yang mengatakan terdapat orang kaum Cina yang pergi untuk tukar kad pengenalan tidak dibenarkan kerana kononnya ia hanya untuk kaum India,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Kaunter Khidmat Rakyat Kementerian Sumber Manusia di Pasar Awam Kampar, di sini, hari ini.

Khamis lalu, kerajaan telah membuat ketetapan tersebut sebagai usaha melaksanakan manifesto janji Pakatan Harapan yang berjanji menyelesaikan masalah kewarganegaraan kaum India yang memegang kad pengenalan merah berusia 60 tahun ke atas iaitu seramai 3,407 orang.

Sementara itu mengulas isu-isu lain, mengenai janji manifesto Pakatan Harapan, beliau berkata, kementeriannya sedang dalam proses melaksanakan janji gaji minimum RM1,500 sebulan mengikut panduan serta arahan pelaksanaannya yang dibincangkan dalam kabinet baru-baru ini.

Bagi isu tukang masak pekerja asing pula, Kula Segaran memberitahu kerajaan masih lagi sedang mengadakan perbincangan dengan pelbagai pihak untuk mencari jalan menang-menang kepada semua pihak.

“Sekarang Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) dibawa ke dalam kementerian saya, nanti kita akan tengok macam mana boleh kita membantu menyelesaikan masalah ini kerana kita nak situasi menang-menang,” ujarnya.