Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menyeru supaya satu gerakan global dilaksanakan bagi menjadikan pembiayaan sosial Islam sebagai cara inovatif yang baharu bagi menangani masalah kemanusiaan sejagat.

Bertitah dalam ucapan pembukaan sesi khas Sidang Kemuncak Kemanusiaan Sedunia di Istanbul, Turki semalam, pembiayaan sosial Islam yang boleh menjadi sumber pembiayaan tambahan juga sangat penting memandangkan majoriti penduduk yang memerlukan bantuan berada di negara-negara Islam.

“Setiap tahun, umat Islam di seluruh dunia dengan bermurah hati menderma kepada mekanisme pembiayaan sosial Islam untuk meringankan penderitaan yang dialami oleh manusia.

“Kita perlu mengiktiraf perbezaan penting tentang peranan penderma-penderma ini ke arah pembiayaan kemanusiaan, dan kita percaya tentang pentingnya meningkatkan bilangan penderma dan pada masa yang sama melindungi prinsip asas bantuan kemanusiaan dan tadbir urus yang baik,” titah baginda.

Sultan Nazrin yang juga Pengerusi Bersama Panel Peringkat Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu bagi Pembiayaan Kemanusiaan bertitah, sudah wujud keperluan supaya dunia meneroka pendekatan baharu yang lebih inovatif dalam membiayai pengurusan krisis dan pembangunan.

Langkah itu, titah baginda, menjadi lebih kritikal lebih-lebih lagi ketika krisis yang berlaku terus berlarutan sekaligus membantutkan pembangunan.

Pelaburan dalam respon kemanusiaan, titah baginda, seperti sukuk dan bon impak sosial, bukan hanya akan menjurus kepada peningkatan sosial pada jangka panjang tetapi juga ketahanan jangka panjang dan pembangunan kapasiti mudah suai untuk komuniti yang berisiko.

Sultan Nazrin bertitah, pelaburan tersebut akan memperkasakan komuniti untuk pulih daripada kejutan serta memudahkan pembabitan sosial dan ekonomi dalam populasi.

Sambil merujuk kepada “Global Alliance for Vaccines and Immunisation Matching Fund” yang dilancarkan tahun lepas, baginda bertitah program sukuk vaksin yang unik telah berjaya mengutip AS$500 juta.

“Ini adalah cara baharu untuk menggembleng sumber yang boleh meningkatkan pembiayaan kemanusiaan yang mampan menggunakan instrumen pasaran modal untuk menjangkau penderma bukan tradisional dan juga pelabur yang bersifat nurani,” titah baginda.

Baginda bertitah, inisiatif-inisiatif yang penting ini juga membolehkan penderma bukan tradisional seperti sektor swasta dan pertubuhan berasaskan agama, untuk menyalurkan dana kepada badan-badan tempatan dan serantau yang membentuk barisan hadapan respon kemanusiaan, namun ia sering tidak dapat mengakses secara langsung bantuan kewangan yang mereka memerlukan dengan segera.