BAGAN SERAI 27 Dis. – Kerajaan negeri mengesahkan projek pembinaan jambatan dari pekan Bagan Datuk ke Kampung Sejagop di Daerah Perak Tengah yang ditangguhkan sebelum ini kini diteruskan.

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam dan Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan negeri, Abdul Yunus Jamhari berkata, projek itu diteruskan setelah kerajaan negeri membuat perundingan dengan kontraktor projek berkenaan.

“Melalui rundingan itu, kos pembinaannya diturunkan sebanyak 10 peratus daripada daripada kos asal.

“Kerajaan negeri akan memberikan perhatian serius untuk pembinaan Jambatan Bagan Datuk ke Kampung Sejagop ini diteruskan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau operasi pengairan bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kerian di Tasik Bukit Merah dekat sini hari ini.

Sebelum ini, pembinaan jambatan bernilai RM466.9 juta menghubungkan Bagan Datuk ke Daerah Perak Tengah itu ditangguhkan selepas perubahan kerajaan Persekutuan dan negeri.

Projek tersebut telah mula dilaksanakan pada Julai 2017 dan dijangka siap pada Julai 2020.

Jambatan sepanjang 1.5 kilometer itu memendekkan jarak perjalanan dari Daerah Bagan Datuk ke Perak Tengah dari 50 kilometer (km) kepada 10.2km selain turut mempunyai jalan tuju ke jambatan sepanjang 8.7km, sistem pembetungan dan saliran di sepanjang jalan utama. – UTUSAN ONLINE