TELUK INTAN: Pembinaan Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) sepanjang 233 kilometer berjalan dengan lancar tanpa sebarang kelewatan daripada masa yang diperuntukkan.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, beliau telah mengadakan perbincangan dengan pihak terlibat bagi mengenalpasti masalah dalam perlaksanaan lebuhraya yang akan menghubungkan Banting ke Taiping itu.

Jelas beliau, terdapat beberapa masalah teknikal kecil yang perlu ditangani khususnya dari segi “missing links” atau jalan penghubung buat masa ini.

“Hasil lawatan ke tapak projek dan menerusi perbincangan, saya mendapati terdapat kawasan missing link di mana terdapat laluan yang tidak dimiliki sesiapa, di antara jalan WCE yang dibangunkan oleh syarikat konsesi dan jalanraya utama kerajaan persekutuan buat masa ini.

“Oleh sebab itu, saya telah berbincang dengan Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk memastikan perkara itu dikendalikan secepat mungkin untuk memastikan kelancaran kerja pembinaan mengikut tarikh ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melaksanakan lawatan di Tapak Projek WCE bersempena dengan Program Permukiman Menteri Besar pada Rabu.

Katanya lagi, pihaknya tidak mempunyai sebarang masalah mengenai kukuh struktur WCE, sebaliknya akan bersedia mengambil perhatian mengenai reka bentuk jambatan yang mungkin menghalang kelicinan lalu lintas.

“Buat masa ini saya merasakan bahawa fasa pembinaan Projek WCE ini telah siap sebanyak 50 peratus dan sebelum siap pada tahun 2019, jangkaan awalnya,” katanya lagi.