KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak mempunyai cadangan untuk menangguhkan atau membatalkan projek pembinaan Menara FELCRA meskipun berdepan kekangan kewangan.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, memberi jaminan masalah aliran tunai susulan perubahan model pembiayaan projek sehingga mengundang risiko aliran tunai akan diselesaikan pengurusan baharu FELCRA.

Katanya, pertimbangan utama FELCRA ketika ini terarah kepada usaha meneliti tawaran terbaik menerusi penjanaan aset projek menara berkenaan, seiring matlamat memastikan keutuhan kedudukan kewangannya.

“Ia termasuk pilihan mengekalkan Menara FELCRA bagi pengurusan syarikat dan kita jual hartanah lain, mencakupi pangsapuri dan blok komersial kepada pasaran umum, namun ini tertakluk kepada tawaran yang akan diterima.

“Kita tidak mahu menjual aset dalam keadaan pulangannya gagal memberikan keuntungan kepada FELCRA Berhad,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ismail Said (BN UMNO-Kuala Krau) pada Sesi Pertanyaan Menteri (MQT), di Dewan Rakyat, hari ini.

Ismail meminta perincian sama ada kerajaan akan tampil menghulurkan bantuan kewangan menerusi beberapa agensi, termasuk Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) untuk menyelamatkan Menara FELCRA.

Menjawab soalan tambahan Awang Hashim (PAS-Pendang) yang menyifatkan FELCRA ketika ini umpama ‘meminta sedekah’, Mohamed Azmin berkata, hal sedemikian tidak timbul kerana strategi bagi merungkai kemelut berkaitan aliran tunai itu tidak membabitkan penjualan semua aset agensi berkenaan.

Beliau sebaliknya menegaskan, pertimbangan untuk menjual aset FELCRA hanya tertakluk kepada unit hartanah di Jalan Semarak bagi memastikan komitmen agensi terbabit kepada 96,137 peserta, termasuk Sabah dan Sarawak sentiasa terjamin.

“Nilai tanah seluas 4.02 ekar (1.62 hektar) dimiliki FELCRA di Jalan Semarak ini hanya RM115 juta, maka sudah tentu kita tidak mahu ia dibiarkan begitu saja tanpa meningkatkan nilai hartanah berkenaan.

“Kta jangka pulangan kepada FELCRA akan meningkat kepada lebih daripada nilai tanah seperti dinyatakan, justeru usaha sedang dijalankan bagi memastikan projek diteruskan,” katanya.

Menjawab soalan asal Ismail mengenai kesan dan rasional penjualan Menara FELCRA, Mohamed Azmin menjelaskan, kerja pembinaan hartanah itu sehingga 30 September lalu sudah 41.22 peratus siap dan mengalami kelewatan 96 hari daripada jadual asal.

Susulan pertukaran konsep pembangunan kepada ‘reka bentuk dan bina’, beliau berkata, FELCRA akan menimbang untuk menjual semua komponen projek, termasuk menara pejabat dan pusat konvensyen jika mendapat tawaran berpatutan demi meminimumkan pendedahan agensi terhadap risiko kewangan – berita harian