IPOH: Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor, Datuk Mohammad Zahir Adbul Khalid menjelaskan bahawa tidak ada penangguhan pembinaan pekan-pekan kecil di negeri ini.

Menurut beliau, matlamat kerajaan mewujudkan pembangunan pekan-pekan kecil di Perak adalah bagi memastikan kemajuan ekonomi tidak hanya dipusatkan di bandar besar tetapi juga memastikan kegiatan sosio-ekonomi turut dinikmati di kawasan luar bandar dan limpahan manfaatnyas dapat dirasai rakyat.

Beliau berkata, bagi merealisasikan hasrat itu, kerajaan melalui Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) merancang untuk membangunkan 41 pekan kecil di seluruh negeri dari tahun 2013 hingga 2018.

“Untuk tahun 2013 hingga hari ini, PKNP berjaya menyiapkan 12 buah pecan kecil,” katanya semasa menjawab soalan lisan Abu Bakar Hussain (Pas-Titi Serong) pada sidang DUN di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada Rabu.

Menurut Zahir, 12 pekan terbabit ialah Pekan Trong Perdana, Pekan Amanjaya Ijok, Dataran Amanjaya Sauk, Dataran Amanjaya Lekir, Dataran Amanjaya Kubu Gajah, Dataran Amanjaya Manong, Dataran Amanjaya Semanggol.

Dataran Amanjaya Lawin, Dataran Amanjaya Simpang Lima, Dataran Amanjaya Bagan Datuk, Dataran Amanjaya Slim Village dan Dataran Amanjaya Temoh.

Beliau menjelaskan, dua lagi pekan kecil iaitu Dataran Amanjaya Bandariang dan Dataran Amanjaya Temoh dijangka disiapkan selewat-lewatnya pada suku kedua tahun ini.

Menurutnya lagi, PKNP membelanjakan antara RM2 juta hingga RM3 juta bagi setiap pembinaan pekan kecil berkenaan.