IPOH: Bekas Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Hamidah Osman menyifatkan tindakan membubarkan beberapa jawatankuasa bahagian parti itu di Perak sebagai zalim.

Beliau yang juga bekas penyelaras Bersatu Negeri Perak turut menyifatkan tindakan itu menggambarkan corak kepimpinan diktator.

Bagaimanapun, kata Hamidah, beliau tidak terkejut perkara itu kerana sudah menjangka perkara ini dari awal lagi.

“Sebab itu saya dulu tidak bersetuju dengan pelantikan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sebab saya tahu tahap kepimpinan dia.

“Tetapi saya jangkakan selepas penubuhan kerajaan, perkara ini tak kan timbul,” katanya dalam sidang media khas di kediamannyq di sini, pada Isnin.

Beliau mengulas laporan mengenai lapan Ketua Bahagian Bersatu di negeri ini enggan menerima notis pembuburan bahagian masing-masing.

Setakat ini lapan ketua bahagian telah menerima notis pembubaran iaitu Beruas, Bagan Serai, Lenggong, Gerik, Teluk Intan, Tapah, Batu Gajah dan Larut.

Lain-lain bahagian yang dijangka menerima notis pembubaran ialah Taiping, Bukit Gantang, Parit Buntar, Lumut, Kampung Gajah dan Tanjung Malim. Kami tidak menerima pembubaran ini.

Hamidah berkata, kerajaan negeri Pakatan Harapan sepatutnya memberi fokus kepada amanah dan tanggungjawab yang diberikan oleh rakyat untuk mentadbir urus negeri dengan baik, bukan terus dengan kemelut politik.

“Cuma saya pelik dengan ppbm, kalau kita tengok apa yang terjadi di Perak ni, juga berlaku di seluruh negeri dan pernah berlaku di Negeri Sembilan dan Selangor. 

“Seolah-olah mereka dalam proses untuk melantik dan meletakkan kroni mereka di dalam bahagian dan menafikan peranan mereka yang dari awal membantu parti, yang terawal menyertai parti dan bekerja untuk parti,” dakwanya.

Menurutnya, ketua-ketua bahagian Bersatu yang terlibat telah banyak menyumbangkan tenaga, masa dan wang ringgit untuk menubuhkan parti.

“Saya sebagai bekas Naib Presiden dan juga bekas penyelaras negeri, saya faham kepayahan mereka, parti tak bagi satu sen pun duit kepada mereka ketika itu dan mereka terpaksa bergerak dengan wang ringgit sendiri, dapat mewujudkan pejabat bahagian lagi, semua dengan kewangan sendiri, tetapi kenapa ketika ini, mereka dinafikan hak mereka untuk terus memimpin bahagian-bahagian itu,” tambahnya.