IPOH – Pengumuman pembubaran Parlimen serta Dewan Undangan Negeri Perak esok disambut baik warga Ipoh yang meletakkan harapan tinggi Pilihan Raya Umum ke-14 kali ini berjalan dengan baik.

Suara Perak telah mendapatkan maklumbalas berkenaan harapan rakyat Malaysia terhadap kerajaan yang bakal mengemudi negara selepas PRU-14 kelak.

Ku Sheedy Ku Delly mengharapkan PRU-14 kali ini membawa lebih kebaikan kepada rakyat Malaysia.

Beliau juga berharap perjalanan PRU berjalan dengan keadaan baik dan aman.

 

“Saya mohon agar kerajaan dapat memberi kerjasama kepada rakyatlah umendapatkan balik kepercayaan rakyat untuk sama-sama kita majukan negara menuju Transformasi Nasional 2050,” ujar kakitangan swasta tersebut.

 

Bagi Setiausaha Kelab Mitsubishi Evolution Malaysia, Fadil Roslan pula, beliau berharap agar kerajaan yang akan memerintah selepas pilihanraya ini dapat membantu rakyat terutama golongan sederhana, kakitangan awam, orang-orang kampung, petani dan nelayan.

“Harapan kita untuk kerajaan yang terpilih selepas PRU ini akan lebih membela nasib rakyat yang berdepan dengan kos hidup semakin tinggi, barangan pun harga semakin naik…kehidupan pun agak susah sekarang ini,” ujar beliau.

Sementara itu, pesara kerajaan Kylash Tpathi berkata sebagai warganegara Malaysia beliau berharap pilihanraya ini akan dijalankan dengan cara yang betul, tanpa melibatkan insiden atau perbuatan tidak sihat.

Beliau juga berharap keputusan pilihanraya ini akan memberi manfaat kepada seluruh rakyat tanpa mengira India, Cina, Melayu.

Katanya lebih penting adalah untuk semua bangsa dapat hidup dengan aman dan berjaya