IPOH: Bangunan Pasar Ayam Amanjaya yang dirasmikan pada 4 Mei 2017 lalu turut menyediakan kemudahan tempat untuk meletak kenderaan yang mampu untuk menampung sejumlah 315 kenderaan pada satu-satu masa.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Zamri Man berkata, pelaksanaan pengurusan parkir di Bangunan Pasar Ayam Amanjaya itu diuruskan seperti kaedah tempat meletak kenderaan berkupon yang dilaksanakan sekarang.

Menurut beliau, waktu penguatkuasaannya adalah mulai 8 pagi hingga 6 petang dari Isnin hingga Sabtu manakala Ahad dan cuti umum dikecualikan.

Beliau memberitahu, sempena pembukaan baru Bangunan Pasar Ayam Amanjaya itu, tempat letak kenderaan tersebut juga dibuka kepada orang ramai secara percuma selama sebulan mulai 1 Jun 2017 sehingga 30 Jun 2017.