SERI ISKANDAR: Empat daripada 11 pelajar sebuah sekolah berasrama penuh di sini dipercayai terlibat dengan kes buli seorang pelajar Tingkatan Tiga sehingga menyebabkan mangsa sukar membuang air kecil dikenakan tindakan berhenti sekolah.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau, Datuk Dr Muhammad Amin Zakaria berkata, tujuh lagi pelajar yang terlibat dalam kes itu digantung sekolah antara seminggu dan dua minggu.

“Mesyuarat Jawatankuasa Disiplin Maktab (JDM) telah bermesyuarat dan mencadangkan empat pelajar tersebut diberhentikan, manakala dua lagi pelajar digantung persekolahan seminggu dan lima lagi digantung dua minggu.

“Laporan lengkap beserta dengan keputusan mesyuarat telah pun diangkat ke pihak pengurusan sekolah berkenaan,” katanya ketika dihubungi Suara Perak di sini, hari ini.

Tambah beliau, ibu bapa pelajar terlibat turut telah dipanggil serta diberi taklimat berkaitan keputusan yang akan diambil oleh pihak pengurusan sekolah.

Pada 4 November lalu, mangsa berusia 15 tahun itu telah dipukul dengan keadaan matanya diikat dengan kain pelikat oleh sekumpulan pelajar yang didalangi seorang pelajar tingkatan lima.

Difahamkan kejadian pada jam 10.30 malam itu berpunca daripada kes kehilangan wang di asrama sekolah terbabit.

Mangsa mengalami kesan lebam dan calar di seluruh badan selain disahkan mengalami kesukaran membuang air kecil akibat kejadian itu.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Zainal Abdullah mengesahkan menerima satu laporan berhubung kejadian merusuh melibatkan pelajar dan siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan