MUAR – Seorang bekas pekerja kedai tayar yang menikam mati bekas tunangnya, Nursyafikah Ahmad Ismail memohon maaf kepada ahli keluarga mangsa termasuk ibu gadis itu yang hadir mengikuti prosiding di Mahkamah Tinggi di sini semalam.

Tertuduh, Muhammad Irshaduddin Khalis Nasu­rudin melafazkan kata-kata: “Saya minta maaf kepada semua, kepada ahli keluarga Nursyafikah termasuk ibunya.”

Muhammad Irshaduddin, 25, meluahkan ka­ta-kata itu ketika berada di kandang tertuduh manakala ahli keluarga mangsa duduk di galeri awam ketika mahkamah berhenti rehat. Ketika itu, hakim belum memutuskan hukuman terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, permohonan maaf Muhammad Irshaduddin tidak me­ngubah nasibnya apabila mahkamah menjatuhkan hukuman mati ke atas tertuduh.

Pesuruhjaya Kehakiman Muhammad Jamil Hussin semasa menyampai keputusannya berkata, berdasarkan keterangan kesemua saksi dan fakta, mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes tidak melampaui keraguan munasabah dan tertuduh didapati bersalah serta disabitkan dengan kesalahan membunuh.

-Kosmo!